Tuesday, July 23, 2013

ANUGERAH TERINDAH...ANAS.

Assalammualaikum.

Hi!..bertemu lagi. Rasanya tak sabar nak menghabiskan cerita Anas yang sangat panjang ini.
Sementara mood nak menulis masih ada lebih baik aku teruskan. Jika tidak akan jadi pekasam lagi.

Pagi ni aku terbaca berita tentang kanak2 yang mati tertinggal di dalam kereta ibunya. Kealpaan yang menjadi sebab musabab dan membawa kepada kematian. Huh!..mesti hancur luluh rasa hati si ibu bila mengenangkan hal ini. Trauma!. baca cerita sedihnya. Aku pun kadang2 selalu macam tu. Bukanlah terlupa anak dalam kereta tapi tiba2 boleh terlupa perkara2 yang dah selalu dibuat lagi2 bila otak ni ada macam2 benda yang nak difikirkan. 


"..berlari lah dan terus tertawa
walau duniamu tak seindah syurga.."

Hidup Anas berubah 360 darjah bila dia mendapat 'kaki' dan dari kanak2 yang longlai Anas menjadi sangat aktif.  Dari usia 3 hingga 5 tahun macam2 hal yang terjadi. Setakat jatuh, luka, calar balar sana sini, kaki kena ekzos motor dah jadi perkara biasa pada Anas. Dia akan menangis sekejap sahaja macam tak rasa sakit. Aku selalu fikirkan..agaknya budak ni dah imun dengan rasa sakit kesan dari ubat2 yang diberikan masa dia kecil dulu.

Barang2 dalam rumah juga dah banyak tak selamat hingga memaksa aku pasang safety gate di pintu dapur. Pernah sekali Anas terlepas ke dapur dan main2 dengan pisau2 dalam laci dapur. Entah macamana dia boleh jumpa pisau tu. 

Kalau bermain2 di luar rumah Anas akan 'mengerjakan' kanak2 yang seusia dengannya. Ada sahaja yang dilakukan hingga budak tu menangis. Pantang sekali kalau masuk ke rumah orang dan jumpa cd2 dia dengan selamba akan ambil dan pandai pulak tu memilih cerita2 yang digemarinya. Adoii..memang pening kepala lah nak bawak Anas ke mana2. Semua barang dia nak usik. Tuan rumah hanya senyum2 tapi dalam hati aku pun dah boleh agak..mesti bengkerk punya! Pendek kata memang haru birulah hidup aku nak kawal dia dalam dan luar rumah. Seingat aku sekali sahaja aku bawa dia ke pasaraya lepas tu tobat lah tak bawa lagi. Nah! duduk sahaja kau di rumah diam2. Segala apa yang ada di depan dia semua dia nak capai sampaikan aku terpaksa memendekkan shopping aku pada hari itu.

Jiran2 di sekeliling tak ramai yang tahu keadaan Anas cuma yang dekat2 sahaja yang tahu. Sebab fizikal Anas yang normal ramai juga yang beranggapan dia faham keadaan sekeliling tapi sebenarnya tidak. Anas faham sesuatu itu jika benda itu berlaku di depan matanya. Aku tak boleh nak explain buruk baik sesuatu sebab dia tak akan faham. Bila benda tu terjadi then baru dia tahu benda tu elok atau tidak dan serik untuk mengulanginya.

Ada 2 3 perkara besar yang berlaku dalam hidup Anas yang meninggalkan kesan hingga ke hari ini. Mungkin juga sebab kelalaian aku dan 'kebuasan' dia perkara itu terjadi.

Sebab Anas ini budaknya tak reti duduk diam, ketika berkunjung ke rumah seorang rakan Anas telah terjatuh di tangga rumahnya yang tinggi. Akibat dari itu dahi Anas mengalami luka yang teruk dan dalam. Darah membasahi seluruh bajunya dan baju aku juga. Panik sekejap! Aku bawa Anas ke klinik tetapi doktor nasihatkan bawa ke hospital sebab luka yang dalam hingga menampakkan tulang/tempurung kepala yang berwarna putih. 

Malam2 buta tu aku dan hubby bergegas ke PPUM. Setelah diperiksa doktor mula menjahit luka tersebut tapi tahulah Anas ini sangat lasak. Dia meronta2 sambil menangis walaupun dipegang oleh beberapa orang staff. Akhirnya doktor terpaksa menyarungkan Anas dengan baju seperti baju orang sakit mental tu, yang diikat dibelakang dan tangannya juga diikat. Doktor menjahit luka Anas tanpa bius!...ops! mungkin bius sikit yang hanya disapu disekeliling luka.  Just imagine..Anas menjerit2 masa kena jahit tu dan aku hanya mampu berdoa agar proses itu berakhir dengan cepat.

Selepas mendapat hampir 8 jahitan aku bawa dia pulang dengan kepala berbalut lagi. Dia tertidur dan sekali sekala tersendu di dalam tidurnya. Esok harinya dia sudah bermain seperti biasa cuma kali ini aku pula yang resah sebab dia asyik nak tarik benang jahitan dikepalanya! aduhai...Anas..Anas.


masa ni dahi clear lagi bersih licin. Muka cam budak baik je..sebab baru bangun tido. 'Temperature' dia belum naik lagi.






Parut di dahi hingga sekarang masih nampak. Ini sewaktu berusia 6 tahun (dah pandai melawa... rambut tegak2)




Kata orang mulut ibu itu masin. Aku akui itu sebab aku tahu mulut aku memang masin pada perkara2 yang tidak elok. Kenapa ekk..tak berlaku pada benda2 yang elok2 dan baik2 sahaja? Aku pernah kata apalah lagi yang akan jadi selepas ini.

Beberapa bulan setelah luka Anas sembuh terjadi lagi satu insiden yang mencabar kesabaran aku. Ketika aku mula bekerja semula Anas ditinggalkan dengan pembantu. Suatu petang jiran aku menelefon bagi tau tangan Anas terluka teruk dan darah mengalir tanpa henti. Sampai di rumah Anas masih lagi menangis. Sebenarnya jari kelinking Anas yang luka. Bila aku buka balutan aku nampak luka yang kecil tapi dalam dan darah tidak henti mengalir. Setelah dipujuk2 Anas menunjukkan bagaimana jari dia terluka. Dia membawa aku ke dapur dan menunjukkan sinki dapur yang dibuat dari aluminium dan jarinya terluka sebab aluminium yang tajam di bawahnya. Entah bagaimana terjadi memang aku tak akan dapat jawapannya. So, aku andaikan mungkin urat di jarinya luka atau terputus! 

Sekali lagi PPUM menjadi sasaran aku dan hubby. Kali ini memang teruk dan Anas admitted untuk 3 hari sebab jari kelinking tu kena buat operation. Waduh!...nampak kecik sahaja tapi dalam lukanya. Salah satu uratnya putus dan kena sambung supaya jarinya pulih semula. 3 hari duduk di wad memang menyiksakan. Berkongsi katil dengan Anas dan paling mencabar nak jaga dia yang tak tahu duduk diam. Walaupun tangan berbalut dia tetap aktif ke sana ke mari. 

Lagi sekali sejarah kelahiran Anas dibongkar. Ambil darah 2 3 kali. Setiap kali ambil darah tangan Anas dicucuk untuk mencari urat yang baru. Memang PPUM ini digelar 'dracula' oleh pesakit2 sebab aku dulu pun patient PPUM ma..aku tau lah. Pengalaman ini yang buatkan Anas fobia bila setiap kali aku bawa dia ke klinik atau hospital selepas itu hinggalah sekarang ini.

Hari ke 2 baru operation dijalankan dan aku bawa Anas hingga ke dalam bilik operation. Dia seakan tahu2 je. Dia menangis dan meronta2. Doktor bius dia masa dia di ribaan aku. Bila dia dah mamai2 baru diletakkan di atas katil. Aku menunggu hampir 3 4 jam baru semuanya selesai. Dengan segala apa yang telah aku lalui sebelum ini aku hadapinya dengan tenang. Segalanya aku serahkan pada Allah. Jika dah tersurat takdir Anas begini aku terima seadanya sebab Dia yang lebih mengetahui.





Masa ni dah nak discharged. Mainan pistol tu dibeli di kedai hospital bila lepas operate dia dah start nak round satu hospital.

Usia Anas terus menginjak tahun demi tahun. Aku tidak sabar nak tunggu dia membesar dan harap hyperaktifnya itu semakin berkurangan. Tidak. Malah bertambah lagi. Ketika Anas bermain2 di taman depan rumah aku bersama pembantu sekali lagi dia tercedera. Kali ini lidahnya pula yang terbelah! Bagai diatur2 segala yang terjadi ini. Sekali lagi aku pasrah.

Mustahil untuk Anas memberitahu aku macamana semuanya terjadi. Aku dan hubby membawa Anas ke Darul Ehsan Medical Centre. Doktor menyarankan satu minor operation dibuat pada lidah Anas bila dia tidak dapat memeriksa lidah itu sebab Anas tidak membuka mulut dan cuba menggigit tangan doktor. Doktor bimbang jika belahan luka itu sampai ke bawah lidah.

Memang minor operation sebab tengahari buat beberapa jam dah boleh balik. Minor..minor pun ribuan ringgit terbang melayang. Laju bagai air mengalir demi seorang anak ini. Bila aku tengok hasil jahitan itu memang nampak sangat sempurna. Hasilnya halus dan berseni jahitannya hingga tidak meninggalkan bekas pun. Itulah harga yang terpaksa dibayar atas 'kesenian' doktor itu.

Bibik jiran aku pernah berkata.."Anas ini ibuk, anak duit. Sekarang ibuk mungkin susah tapi bila Anas dah besar nanti akan ada balasannya pada ibuk. Sabar sajalah"..insyaallah bik..

Aku selalu pesan pada anak2 yang lain jangan buat sesuatu yang tak elok di depan Anas sebab dia akan ikut sahaja apa yang dibuat orang walaupun hanya perkara main2. 

Satu hari Ayoi called aku di ofis dan memberitahu sesuatu telah terjadi angkara adiknya ini. Aku hanya mampu melepaskan keluhan berat setelah dia selesai bercerita.

Pulang dari kerja petang itu sebaik aku keluar dari kereta aku lihat jiran aku Kak Odah dan anak lelakinya yang tinggal di tingkat bawah sekali sedang menanti aku. Sebab dah tahu duduk aturnya perkara aku tenang2 sahaja. Kak Odah mula bersuara dengan nada yang agak tinggi.

"Ita, ni Anas dah pecahkan cermin kereta anak akak. Ni batunya dibaling dari atas...bla..bla..kereta..bla..bla..ganti..bla..bla..."

"ok kak Odah, sorry ye. Nanti suami ita bawa kereta ke bengkel" cepat2 aku pintas cakap Kak Odah. Malas nak dengar aduan yang sama 2 kali.

Aku pun tak tahu macamanalah Anas boleh buat macam tu. Kereta tu parking di bawah rumah dan menghadap ke hadapan tapi yang pecahnya cermin belakang bukan cermin depan. Besar juga batu yang Kak Odah tunjukkan. Tak tau lah Anas dapat dari mana tapi aku rasa dia mesti nampak ada orang baling2 benda dari tingkat atas dan ikut cara itu. Sabar je lah.

Banyak sungguh dugaan dalam membesarkan Anas. Sampai aku rasa macam tak tertahan lagi. Rasa nak kurung aje Anas dalam rumah. Bila aku muhasabah diri memang Allah itu benar2 menduga aku. Dulu aku seorang yang panas baran dan garang pada adik2. Dugaan itu semua untuk mengajar hati dan menguatkan iman aku agar selalu bersabar dan bertenang. 

Untuk anda di luar sana yang mempunyai anak2 istimewa ini jangan berasa malu untuk mendedahkan mereka pada masyarakat. Masyarakat hari ini lebih terbuka dan dapat menerima anak2 ini. Mungkin pada permulaan akan ada sedikit rasa janggal tapi lama kelamaan menjadi kebiasaan.

Jangan lupa mendaftarkan mereka di  Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mendapatkan kad OKU mengikut kategori masing2. Kad ini banyak kelebihannya kepada mereka terutama dalam hal2 yang berkaitan persekolahan atau perubatan hinggakan bantuan untuk OKU ini dimasukkan di dalam Belanjawan Negara. Jangan lepaskan peluang. Grab it!

Anas sendiri mendapat keistimewaan di hospital semasa mendapatkan rawatan untuk merawat giginya yang rosak teruk. Tanpa kad ini rasanya memakan masa untuk membuat appointment dan segala bagai.

   
Sekarang Anas dah berusia 10 tahun. Seorang anak yang sentiasa ingin meneroka perkara2 yang ada di sekelilingnya. Alhamdullillah... walaupun Anas tak boleh bercakap tapi dia mempunyai kelebihan pada otaknya. Kadang2 aku rasa cara Anas berfikir jauh melangkaui fikiran anak2 normal yang seusianya. Dia memang anak yang bijak. Janji Allah itu pasti. Setiap kekurangan itu ada kelebihan yang diberikan. Bukankah kekurangan dan ujian itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah pada kita. Beruntunglah kepada kita yang selalu bersabar dan bersyukur. Tidak ramai yang mempunyai anak2 yang istimewa ini dan beruntunglah kerana kita menjadi orang2 yang terpilih.


ceria..






aktif..





hobi..



Insya Allah nanti aku selitkan serba sedikit tentang persekolahan Anas di Sek. Keb Pendengaran Khas Selangor (SKPK) di lain2 entry yang berkaitan. 

Anugerah Terindah..blog ini tercipta sebenarnya adalah ilham rasa dari Anas yang teristimewa. Semuga bila satu hari nanti Anas sudah boleh membaca dia dapat menyoroti kembali sejarah kelahiran dan perjalanan hidupnya yang tak mungkin dapat diceritakan oleh orang lain secara detail dan terperinci. Satu kenangan untuk Anas dari mamanya. 

Adios.










Friday, July 19, 2013

BINTANG DI BALIK AWAN PUN TERSENYUM...


Assalammualaikum. Salam bahagia. 

Kita masih lagi menjalani ibadah puasa ini. Alhamdullilah cuaca tidak seterik sebelum Ramadhan. Pagi ini sejuk lagi. Sesungguhnya Allah itu sangat mengasihi kita hamba2Nya. Hanya kita yang sering terleka.

Bersyukur sangat untuk kita2 yang bekerja di dalam ofis ini. Keadaan sungguh selesa dengan pendingin hawa berterusan. Ada yang kadang2 hampir beku rasanya lagi2 aircond baru servis macam kat ofis aku sekarang. Kat rumah pun tak dapat macam ni. Alhamdullillah..lega sikit puasa hari ini.

Aku selalu bayangkan macamanalah pekerja2 kontrak binaan bangunan tinggi2 tu bekerja bila tiba bulan puasa macam ni. Tak ada tempat berlindung dari teriknya mentari. Panas membahang di atas kepala. Dengan bebanan yang berat mengangkat batu2, kayu dan simen. Berat sungguh dugaannya tapi mereka tetap tabah. Aku tahu ramai yang masih berpuasa dan meneruskan kerja2 seharian. Bila kita diuji, diduga iman kita akan jadi lagi lebih kuat.

Ok..back to the story hari ini. Sambung lagi kisah Anas.

Selepas mendapatkan rawatan yang pertama dari Kak Raw aku terus mengulanginya lagi. Kini setiap hujung minggu arah perjalanan ke luar kota aku hanyalah menuju ke Gedangsa. Pagi2 lepas subuh sepie'e aku bertolak dari rumah mak merentasi kabus2 dijalanan. Selalunya bila melalui Kalumpang jalannya masih berkabus. Bestnya..rasa nyaman dan segar.

Seawal jam 7.30 pagi kami dah sampai ke rumah Kak Raw. Masa ni orang masih tak ramai lagi. Sekarang ni tahun 2013 rasanya korang kena pergi awal lagi dari ini kalau nak dapat giliran yang cepat.

Untuk rawatan seterusnya Anas diurut satu badan terutama bahagian kepala. Daun sireh diletak di atas kepala sebelum dibandage. Dada anas diletakkan dengan 2 helai daun mengkudu dan dibalut dengan bandage juga. Kak Raw buat ini untuk tempoh 2 3 minggu juga dan dada Anas yang tinggi juga semakin berkurangan. Bunyi nafas/dengkuran seperti athma juga tak lagi kedengaran. Kak Raw buat juga rawatan untuk kaki dan tangan Anas.

Setelah lebih kurang 2 minggu dari rawatan pertama aku rasakan satu keajaiban yang berlaku. Anas dah boleh memusingkan badannya dan meniarap. Anas dah boleh mengangkat kepalanya sendiri walaupun masih dalam keadaan sedikit terlentuk.  Ya Allah!..masa tu mak adalah orang yang sangat teruja melihat perkembangan Anas. Tak putus2 mak mengucap syukur. 

Minggu berganti bulan dalam sedar tak sedar aku berulang ke Gedangsa.  Rawatan kak Raw ke atas Anas juga semakin bertambah. Anas dimandikan dengan air sireh selama 7 kali berturut2 selepas sessi urutan. Selain itu ada juga terapi yang lain seperti terapi bola secara berperingkat. Iye..bola macam aerobik tu tapi saiz kecil. Ada juga terapi yang lain tapi aku tak ingat dah.

Sebenarnya jenis rawatan adalah berbeza untuk setiap orang tetapi kebanyakannya sama kerana yang datang adalah kanak2 yang mempunyai masalah yang sama. 

Dalam keletihan melalui perjalanan yang jauh dan dalam jerit tangis Anas perkembangannya memang sesuatu yang sangat memberangsangkan. Tubuh badan Anas semakin kuat. Anas sudah mula boleh mengangkat badan dan belajar untuk duduk.  Fizikalnya sudah seperti kanak2 normal yang lain cuma pendengarannya sahaja yang bermasalah. 

Kak Raw juga melakukan urutan untuk lidah Anas supaya tidak menjadi tebal dan membuatkan patah perkataan yang keluar semakin tidak jelas. Rawatan ini lah yang paling tidak disukai oleh Anas. Apabila dia sudah semakin membesar rontaan dan tendangannya sudah semakin kuat. Aku dan hubby akan memegang kaki dan tangan Anas sementara kak Raw mengurut lidahnya dengan menggunakan kain. Silap2 haribulan dia akan menggigit jari2 Kak Raw.

Alhamdullilah..Anas memang 'berjodoh' dengan Kak Raw. Aku kuatkan hati dan semangat berulang alik ke Gedangsa. Tiada lagi istilah family day dihujung minggu. Anak2 yang lain aku tinggalkan di rumah mak sementara aku dan hubby berulang ke Gedangsa. Nak katakan penat memang sangat penat. Penat melayan karenah Anas yang semakin 'buas', penat dalam perjalanan yang berliku menempuhi kampung dan hutan belantara dan penat menunggu giliran. Orang makin lama makin ramai tambahan bila pusat rawatan Kak Raw tersiar di dalam TV. Di samping itu kak Raw juga menerima rawatan untuk kanak2 normal yang dikatogerikan sebagai lembam/lembab/slow learner di dalam pelajaran dan untuk pelajar2 yang menduduki peperiksaan. Rawatan ini dinamakan Rawatan Membuka Minda. Sempat jugalah aku selitkan anak2 aku yang lain semasa membawa Anas ke sana.

Anas terlebih dahulu mendapat Rawatan Membuka Minda ini setelah dia menjalani beberapa sessi rawatan terapi yang lain. Entah apa istimewanya Anas ini Kak Raw telah memberikan rawatan minda sejak dia dari kecil lagi sedangkan rawatan itu sebenarnya untuk kanak2 yang telah bersekolah. Kata Kak Raw setelah rawatan membuka minda.."kau tengok anak kau yang ini akan lain dari adik beradiknya yang lain.."
Oh!..masa tu aku hanya tersenyum tapi kini aku dah dapat jawapannya.

Puncak kejayaan pada terapi ini adalah bila umur Anas telah mencapai 2 tahun lebih Anas telah mendapat 'kaki'. Ya Allah..OMG!..masa tu memang2 spechless! tak terungkap dengan kata2..anak aku dah boleh berjalan!. Tak percaya, terharu, sedih, sebak semua ada. 

Anas memang anak yang bijak untuk kanak2 yang seumur dan yang bermasalah seperti dia. Bila dia dapat duduk dan merangkak dia akan merangkak mencari dinding. Sampai di dinding dia akan memegang dinding dan mula berdiri. Perlahan2 dia membalikkan badannya  dan bersandar di dinding dan memulakan langkahnya. Bermulalah jalan jatuh Anas. Dari satu langkah ke langkah2 yang seterusnya. Tapi yang kelakarnya dia tidak dapat mengawal gerak langkah itu. Anas akan berjalan seperti orang mabuk. Berterabur. Bukan berjalan terus ke hadapan. Teori aku..otak dia masih belum dapat mengawal/mengarahkan pergerakan selari dengan fikiran (chewah!) belum pulih sepenuhnya sebab doktor dah kata banyak saraf2 Anas yang dah rosak. Itu pun aku dah bersyukur sangat. Bila dah dapat kaki Anas juga seperti kanak2 yang lain, kemaruk nak berjalan tapi kena ada orang yang mengawasinya. 

Aku memang bersyukur sangat walaupun Anas lambat berjalan tetapi akhirnya dia tetap seperti kanak2 lain yang normal cuma terkebelakang sedikit dari segi perkembangannya. Itu adalah lebih baik dari seorang doktor yang mengatakan Anas akan lumpuh seumur hidupnya.

Bila Anas sudah mula berjalan aku mengurangkan sedikit berulang ke Gedangsa tambahan pula semakin lama semakin banyak hal2 lain yang mendatang. Bukit pun kalau hari2 ditarah akan menjadi busut. Begitu jugalah dengan kewangan aku. Aku mula membuat sesuatu untuk menambah kembali tabung yang sudah mula susut.

Doktor menasihatkan Anas memakai hearing aid sebagai langkah2 keselamatan dia. Ketika ini umur Anas telah mencapai ke 4 tahun. Peluang untuk Anas bercakap agak tiada kerana kerosakan saraf pendengarannya yang teruk. Sarafnya tidak dapat menterjemahkan perkataan2/bunyi2 yang sampai ke otak. Itu penerangan dari juruterapi yang bertugas. Penggunaan hearing aid hanya membantu dia untuk mendengar bunyi2 pergerakan disekeliling dia seperti bunyi hon kereta, orang menjerit dsb. Kali ini aku berulang alik semula ke HKL untuk ujian pendengaran Anas. Dengan kos yang agak besar akhirnya dapatlah sepasang hearing aid disediakan untuk Anas. 

Seperti yang aku katakan dalam proses pembesaran ini Anas bertukar dari seorang kanak2 yang longlai menjadi seorang yang hyper. Kadang2 aku rasa otak dia pun agak hyper bila dia akan buat sesuatu itu dengan rasa ingin tahu yang sangat tinggi. Akibatnya..hearing aidnya menjadi mangsa. Habis wayar2 dicabut dan dileraikan seperti bahan eksperimen. Hanya sebulan dua sahaja dia sempat menggunakannya. 

Sekali sekala aku berkunjung juga ke Gedangsa kerana Anas belumlah pulih lagi sepenuhnya. Bila semakin membesar Anas sudah pandai tidak mahu melakukan terapi. Dia tahu arah jalan ke Gedangsa cuma mulutnya sahaja yang tidak mengeluarkan perkataan. Dia akan menarik muka dan mula menangis bila melalui jalan2 ke sana. Puas memujuk barulah dapat menjalani rawatan. Atau Anas sudah pandai merasai kesakitan bila kepalanya dibandage dan perlu dibuka hanya selepas 4 jam untuk memastikan perjalanan darah ke otaknya sempurna.

Nampak macam senang je kan urut kepala dan sapu krim tu. Pernah sekali bila aku rasa kepala aku sangat sakit dan 'berat' aku minta Kak Raw urutkan kepala aku seperti budak2 yang lain. 2 3 kali minta baru Kak Raw layan sebab dia lebih pentingkan kanak2 OKU ini. 

Bila Kak Raw pegang aje kepala aku dia dah membebel.."ini bukan sakit kepala. Bukan darah tinggi, ini berserabut ni!"..memang betul masa tu aku memang berserabut dengan macam2 hal yang berlaku. "belum satu selesai, lagi satu masalah datang". Aku cuma tahankan aje lah..nak ok kan. 

Oh!..sekarang aku tahu macamana sakitnya berdenyut2 kepala setelah diurut dan dibandage dan aku perlu 4 jam untuk tahankan sakit ini. Dalam kereta kepala aku rasa berdenyut2, rasa nak muntah, tak tentu arah. Jalan terbaik hanyalah tidur. Patutlah anak aku Amirul setiap kali lepas buat rawatan buka minda dia akan muntah dan longlai. Lepas tu tidur sampai petang. Pada yang lemah memang akan mengalah. 

Aku masih meneruskan rawatan hinggalah Anas berusia 6 tahun dan mula memasuki alam persekolahan. Walau pun on off, on off aku cuba pastikan Anas benar2 sembuh atau sekurang2nya kak Raw kata Anas tak perlukan lagi rawatan. 

Ubat doktor macamana? Hospital? Semua itu dah lama aku tinggalkan. Sejak Anas menjalani terapi dengan Kak Raw aku tak bawa lagi dia buat terapi di hospital. Appointment dengan Dr Choy pun aku tak pergi. Bukan tak percaya dengan hospital tapi rawatan altenatif ini sudah serasi dengan Anas. Jika setiap kali appointment doktor akan tanya.."sudah boleh pegang botol sendirikah?.Sudah boleh berdiri, berjalankah?". Hanya bertanya tanpa memberikan apa2 solution supaya Anas boleh berjalan.  Aku juga rasa rugi sahaja mengambil ubat yang berkoyan2 tiap bulan tapi hanya terbiar sahaja. Anas dah mula menolak nak makan ubat2 itu. Satu ubat yang aku rasa agak mahal Co Enzim Q10 tiap2 bulan bertepek2 doktor bagi. Biarlah ubat2 itu diberi pada orang lain yang lebih memerlukan. 

Dah rezeki agaknya di bawah ini adalah beberapa keping gambar Anas yang hampir pudar warnanya yang aku jumpa semasa berkemas baru2 ini. Ini juga menjadi salah satu sebab kenapa cerita Anas asyik tertangguh2 sebab aku masih mencari2 gambar2 ini ketika itu. Tak syiok kan baca cerita tak nampak orangnya. 






Ogos 2003 - seminggu selepas Anas dilahirkan. Cerita berkaitan entry ini kau yang teristimewa.





2004 - beberapa bulan selepas keluar dari hospital. Nampak ok kan?..sebenarnya aku terpaksa sandarkan Anas kat hujung sofa dan letak kusyen2 tu tak bagi dia jatuh. Masa ni dia belum dapat rawatan  lagi. Baca di sini aku diuji lagi dan di sini satu dalam seribu.







Anas dalam proses rawatan. Masa ni dah boleh duduk dan kuat sikit.










Anas dah boleh berdiri. Ini yang aku cerita tu. Dia bersandar macam ni sebelum memulakan langkahnya. 


Next entry aku nak sharekan cabaran dan dugaan dalam membesarkan Anas yang tiba2 berubah menjadi kanak2 yang hyperaktif. Hanya Tuhan sahaja yang tahu dan kesabaran ketika itu..sky is the limit.

"yang tidak pernah mati adalah harapan.."

Sampai jumpa lagi.













Wednesday, July 17, 2013

'PINTU' SUDAH TERBUKA..


Assalammualaikum.

Masih di awal Ramadhan yang tenang. Sunyi sepi kat Kompleks Perumahan ni bila cuti. Tambah lagi bulan puasa. Ramai yang sambung tidur lepas solat subuh.

Beberapa tahun kebelakangan ini aku sangat teruja untuk menyambut Ramadhan. Mungkin usia semakin meningkat kesedaran tentang bulan yang mulia ini semakin bertambah. Tersangat rugi jika tidak mengambil kesempatan untuk menambah pahala di bulan ini. Buatlah apa sahaja kebaikan even sebesar zarah dan tak dapat dilihat dengan mata kasar pun pahala tetap ada dan berganda. MasyaAllah..

Kali ini bukan nak bercerita pasal Ramadhan atau yang berkaitan. Aku dah lama nak menulis cerita ini. Nak menyambung semula cerita yang pernah aku tulis bertahun lalu yang masih belum berpenghujungnya. Masih belum tamat. Cuma tak de hati nak menulis. Belum terbuka hati (banyak lah kau punya suka..) Cuma tadi aku tersinggah pada satu blog rakan maya ini kham yang buatkan aku rasa terus terpanggil untuk menyambung semula cerita Anas ini.


Kepada yang baru bertandang ke blog ni elok lah baca dulu entry di sini, di sini dan di sini supaya faham jalan cerita sebab dah terlalu lama aku berhenti menulis tentangnya.

Ok..ambil mood ye..sebelum sambung lagi ni. Mood sedey layan2.

Dugaan Allah itu besar. Setiap penyakit ada ubatnya. Dalam kebuntuan aku menghadapi dugaan ini Allah telah menjemput aku untuk menjadi tetamuNya berkelana ke Mekah dan Madinah. Rezeki tak terduga dalam keadaan aku serba salah nak tinggalkan Anas yang masih terlantar. Tapi entah mengapa aku tolak ketepi semua rasa itu. Yang ada dalam hati aku hanya satu. Nak juga pergi umrah sebab aku rasa ini sahaja peluang yang datang pada aku dan entah tak tahu bila lagi akan merasa. Mungkin kali ini memang dah rezeki aku sejak lama dulu aku teringin sangat nak jejakkan kaki ke sana. Aku hanya berserah sahaja pada Allah akan nasib Anas yang akan aku tinggalkan selama 2 minggu bersama mak di kampung. 

Alhamdulillah, Anas dah ok sikit. Dah boleh makan dan menyusu seperti biasa. Berkoyan2 pesanan aku titipkan buat mak. Kalau demam cepat2 demah dengan air jangan bagi sawan dia berulang. Jangan dedahkan Anas kat luar dan orang2 yang tak biasa dengan dia. Jangan itu, jangan ini dan macam2 pesanan. Nasib baik mak faham dan suruh juga aku pergi. Doa banyak2 untuk Anas di sana.

Setelah pulang dari umrah keadaan Anas tetap macam itu. Aku masih menjalani kehidupan seperti biasa.  Anas masih berulang ke hospital menjalani rawatan terapi untuk anggota badannya yang lemah. Saraf2 Anas banyak yang dijangkiti kuman2 semasa sakitnya dahulu dan menyebabkan tubuh badannya menjadi 'lembik' seperti sotong. Anas hanya mampu baring dan berpusing2 di lantai. Dia tidak boleh mengangkat kepala atau badannya. Jika aku memegang Anas aku terpaksa memangku kepalanya yang lembik dan terlentuk ke kiri dan ke kanan. Kaki Anas juga tidak mampu berdiri dengan kuat. Memang Anas benar2 seperti sotong yang lembik dan terkulai. 

Setiap kali buat terapi Anas akan menangis bila dia ditiarapkan di atas tilam. Dia akan menangis seperti sedang menahan kesakitan. Bila Anas mula menangis juruterapi tidak akan meneruskan rawatan dan kedatangan kami pada hari tu hanya sia-sia sahaja. Terpaksa menunggu giliran, buat appointment lagi dan end up tak dapat jalani terapi bila Anas menangis. Seingat aku 2 3 kali rawatan hanya sekali sahaja dapat diteruskan itu pun hanya sekejap. Aku jadi fade-up. Aku jadi buntu nak buat cara macamana lagi. 

Aku dan mak sentiasa berfikir dan bertanya2 pada orang2 keliling apa2 ikhtiar yang patut dilakukan untuk mengembalikan Anas seperi kanak2 normal. Pantang dengar ada orang yang boleh buat rawatan saraf aku bawa Anas. Buat juga rawatan tradisional. Anas dimandikan seperti memandikan mayat sebab kata Anas terkena badi orang meninggal. Aku turutkan. Ada yang kata Anas kena 'teguran' dan ada 'benda' yang mengikutnya. Aku bayar untuk semua itu untuk pulihkan Anas. Duit mengalir bagaikan air. Keadaan Anas tetap sama.




 (pinjam gambar ekk...) Anas langsung tak boleh angkat kaki macam ni. Hanya terbaring sahaja.


Setiap hujung minggu aku selalu balik kampung. Satu hari mak menyarankan aku membawa Anas ke Behrang yang katanya ada seorang yang boleh mengubat kanak2 yang lemah2 dan tidak sihat. Mak siap bagi tau aku dia ni bukan bomoh macam biasa. Tak ada pakai jampi2. Sebenarnya ada saudara mak yang bagi tau dan disuruh mencuba.

Pada mulanya aku endah tak endah sahaja cadangan  mak sebab aku rasa macam dah tak de harapan. Bila ingatkan doktor kata Anas akan macam tu seumur hidupnya dan perkembangannya tidak seperti kanak2 yang seusianya. Hati jadi tawar. Memang rasa putus asa, putus harap. Aku buntu tak tau nak buat apa hanya melalui hari2 seperti biasa dan mengikut sahaja apa yang Allah dah tetapkan untuk aku. 

Alhamdullillah..bila Allah bukakan pintu hati aku pada suatu hari bila aku membawa Anas ke HKL untuk appointment bulanannya. Semasa menunggu giliran aku berbual2 dengan ibu2 yang membawa anak2 mereka yang aku katogerikan lebih teruk dari Anas. Mereka adalah pesakit2 genetik. Maaf aku tak tau nama saintifiknya. Ramai yang bercerita tentang rawatan saraf yang diberitahu oleh mak itu.

Tanpa menaruh apa2 harapan minggu berikutnya aku, hubby dan mak bersama2 membawa Anas mendapatkan rawatan di tempat tersebut. Behrang..oh! bukan Behrang. Nak ke sana hanya akan melalui pekan Behrang sahaja. Tempat sebenarnya adalah Felda Gedangsa. Korang pernah dengar tak felda yang biasanya terletak nun sangat jauh di pedalaman. Melalui hutan2 dan jalan yang sempit lagi berliku. Pada aku itu perkara biasa sebab nama Felda Gedangsa selalu di bibir zaman2 sekolah dulu kerana ramai kawan2 di asrama berasal dari sini. Walaupun pernah sampai ke Felda Gedangsa aku berpusing2 juga mencari tempat rawatan itu.

Sepuloh tahun lalu orang2 Felda Gedangsa sendiri ramai yang tidak tahu keujudan pusat rawatan ini. Kami berpusing2 hingga menemui jalan buntu. Kubur! eh!..tak lah. Dalam mind aku je selalu kata kalau tak tahu jalan last2 akan jumpa jalan ke kubur. 

Sampai di rumah ini kami bertemu dengan Kak Raw orang yang bertanggungjawab menjalankan rawatan tersebut. Rupa2nya Kak Raw ini ada bau2 bacang dengan Wan aku bila mak tiba2 terkenal pulak dengan mak  Kak Raw yang aku panggil Opah. Alahai..senang cite lah cam ni.

Masa tu ada 2 3 orang yang dah sampai dengan anak masing2. Bila dilihat antara mereka bolehlah disimpulkan bahawa yang datang kebanyakannya anak2 yang kurang upaya. Ada yang kepala besar merenin. Ada yang spastik, cerebral palsy,hyper dan macam2 lagi. Ya Allah..semua ini depan mata aku. Satu pemandangan yang amat menyedihkan. Tak ramai yang tahu pernah satu ketika aku amat 'takut' dan seriau bila melihat kanak2 OKU dan selalu menjauhi mereka. Bukan jijik tapi tak tau aku  nak describe perasaan tu. Memang Allah benar2 menguji aku bila aku sendiri terpaksa tolong pegangkan kanak2 ini yang meronta2 ketika mendapat rawatan dari Kak Raw. Kanak2 OKU ini kadang2 tenaga mereka tak terjangkakan.


Bila tiba giliran Anas aku menyerahkan  dia bulat2 pada Kak Raw. Ucapan pertama Kak Raw.."handsome baby ni" sambil senyum2 ambil Anas dari aku. Setelah aku terangkan serba sikit masalah  Anas, Kak Raw terus diagnose apa sebenarnya yang dihidapi Anas.

Tak de jampi serapah atau mentera. Paling aku dengar pun hanya kalimah Bismillah dari bibir Kak Raw. Kak Raw memegang kepala Anas dan sedikit memicit2nya. Belakang Anas dilurut beberapa kali dan juga di bahagian hadapannya. Kak Raw beritahu aku kenapa Anas akan menangis setiap kali buat fisioterapi. Tulang belakang Anas sedikit bengkok yang buatkan dia rasa sakit bila ditiarapkan. Dada Anas agak tinggi seperti dipanggil orang 'dada burung' dan buatkan Anas cepat dapat athma. Yang paling buat aku telan air liur ialah bila dikatakan otak Anas mula mengecut! Keadaan kepala dan dahi Anas memang menampakkan ciri2 itu. InsyaAllah boleh baik lagi sebab Anas masih kecil dan masa pertumbuhan tubuh badan dia masih panjang. Kak Raw memberi kata2 semangat pada aku. Aku tahu, Kak Raw dah banyak berjumpa kanak2 yang bermasalah seperti ini. You're right! Proceed Kak Raw.

Walau pun aku datang sehelai sepinggang tanpa membawa apa2 barang untuk rawatan Anas, Kak Raw masih meneruskan juga. Bukan sireh pinang limau kunyit yang diguna. Kak Raw cuma guna krim Nivea. Iye!..nivea cream aje yang dalam bekas bulat tin warna purple tu. Hebatkan? Dan beberapa helai bandage untuk membalut bahagian badan yang bermasalah.






Anas memang menangis terjerit2 bila Kak Raw menyapu cream di kepala dan seluruh badan. Just imagine hanya sapu cream sahaja boleh buat Anas menangis. No.!.no.!.no..! urutan tangan kak Raw memang power. Bukan urut kosong ye. Untuk permulaan Kak Raw hanya membalut kepala Anas sahaja sebab itu bahagian yang sangat penting. Aku hanya mampu memandang Anas dengan sayu. Seperti dapat membaca pandangan mata aku, kak Raw  yang memang telah 'masak' dalam bidang ini berkata, satu2nya kata2 Kak Raw yang sampai sekarang masih aku ingat.."biar dia menangis sekarang tapi hanya sekejap sahaja daripada kau menangis untuk selamanya"...sebab ada ibu bapa yang tak sampai hati melihat anak2 mereka menangis dan tidak meneruskan rawatan mereka. 

Selesai rawatan dan aku menghulurkan sedikit saguhati, Kak Raw berpesan untuk datang minggu hadapan bagi meneruskan rawatan Anas. Dalam perjalanan balik ke Batang Kali Anas tidur dengan lenanya. Aku pangku Anas sambil berdoa dalam hati.."Ya Allah..jika ini jalan yang kau tunjukkan, permudahkanlah ia untuk kami. Amin"

Sambung ye..tengok apa perkembangan Anas lepas ni. Mengembang ke menguncup?..hihihi...





Thursday, July 11, 2013

Friday, July 5, 2013

CERITA DARI HATI.


Assalammualaikum. Salam manis. Salam bahagia.

Lama juga aku tidak menulis lagi. Bukan tidak ada cerita2 yang nak dikongsi tapi kadang2 mood untuk menulis hilang. Kalau menulis ada cerita yang nak disampaikan tapi kalau hati kata tak ada hati nak menulis (boleh faham ke..?) aku tak akan menulis. Sebabnya nanti apa yang aku tulis yang bukan dari hati akan jadi seperti tulisan yang 'kering' dan tak berseni. Lebih baik diam dan pendamkan hingga ada rasa hati nak menulis. Biarlah ceritanya dah basi tapi bila menulis dari hati pasti berseri2.

Aku baru lepas 'berjalan2' di alam maya ini sebentar tadi. Tak jauh pun hanya singgah di satu blog yang sangat femes ini. Wah! gerun rasanya! Bukan sebab ramainya follower tapi sebab ramainya follower2 yang mengutuk mengata.

Macam tu ke dunia blogger? Yang jadi mangsa adalah blogger itu sendiri dan juga seorang blogger lain yang dikutuk dalam blog itu (boleh faham ke..?) 

Dunia tanpa sempadan. Hati orang lain2. Ada suka ada tak suka. Satu yang selalu aku ingat, kita ada Allah yang akan mengadilinya. Komen lah yang berhemah. Walau orang tak tau identiti kita tapi Allah tahu. Itu lebih penting.  

Kadang2 bersyukur juga jadi blogger kecil2an ini. Kadang2 takut juga bila tengok..eh! tingginya trafik ari ni walaupun trafik ari ini lebih seciput je dari semalam tapi hati tetap rasa cuak. Tak ramai follower tapi ramai yang membaca. Silent reader. Malu ke nak jemput aku bertandang ke blog tuan hamba?

Blog aku biasa2 sahaja. Cerita tentang kehidupan kita yang berbeza. Yang baik ambil dan simpan jadikan panduan. Kalau tak suka jangan sakit2 kepala, jangan nak sengal2kan rasa..sila2lah ye...kau nampak itu pintu besar..? hihihi...tst lah. Tak payah lah meninggalkan jejak yang berdosa. Simpan pahala itu untuk diri sendiri.

Aku selalu juga masuk ke satu blog ini. Kalau disebut mesti semua orang tahu. Walau femes walau ramai follower memuji2 namun ramai juga yang mengeji. Walau pun kadang kala penulisannya agak meninggi diri seperti menunjuk2 tapi bukan itu yang aku cari. Mungkin si dia sudah begitu tertulis gaya diri. Biarkan dia selagi tidak menyusahkan diri aku. Apa yang aku cari di blog dia?

 Oh! aku suka lihat cara dia menghias rumah, yang boleh dijadikan idea untuk hias rumah aku walaupun bahan2 yang diguna aku tahu tak dapat menyamai harga barang2 dia. 

Oh!..aku selalu skodeng dapur dia yang menyajikan masakan sedap2 untuk keluarganya yang aku boleh sediakan juga untuk memenuhi selera anak2ku.

 Oh!.. aku juga suka lihat penampilan dia yang kemas dan petua2 menjaga kecantikan dan kesihatan agar aku juga sentiasa sihat dan cantik macam dia...(uhuk!). 

Oh!..aku juga tidaklah seperti katak di bawah tempurung bila berkunjung sama berholiday bersama dia dan keluarganya walaupun hanya melihat2 gambar di blog dia sahaja. Sekurang2nya pengalaman dia telah menjadi panduan aku bercuti di Bandung dahulu walau pun dia sempat menempah langsir di sana tapi aku cuma mampu beli kain langsir sahaja.

Oh!...maaflah..aku masih belum jadi follower dia walaupun selalu ternanti2 cerita2 baru dia yang buatkan orang2 yang dengki semakin busuk hati. Belum terbuka hati nak jadi follower tapi dalam hati aku selalu kata...dia sebenarnya terus 'hidup' di hati setiap orang yang membencinya. 

Tak kenal maka tak cinta. Benci jangan terlalu nanti benci bertukar rindu.

Satu cerita di bawah ini yang tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati atau yang dengan di atas nun.


Seorang kenalan lamaaaa sangat! mempelawa aku ke sebuah kelab tersohor di sini untuk bergebang2 setelah lama tidak berjumpa. Mula2 bermasage2an aku memang peramah giler. Kira dia memang 'satu kepala' dengan aku. Topik apa sahaja kami memang serupa bak kata orang duduk sama rendah berdiri sama gah. Tapi bila tiba2 dia kata nak jumpa aku kat tempat yang dah macam rumah ke 2 dia, yang selalu dia main tenis kat situ, aku tiba2 rasa kerdillll...kecikkkk...ya amat! Tiba2 jadi pendiam, mulut terkunci ayat2 jadi padam. Aku ingat aku dah cukup mengenali dia tapi rupa2nya tidak. Kami sama tapi tak serupa. Aku lebih suka bergebang2 di kedai kopi, kedai mamak atau nak kelas sikit di Old Town atau Mc D. Aku masih mempertimbangkannya. I'll think about it!. 
Tanya hati dulu..