“aku ingin menjadi
mimpi indah dalam hidupmu
aku ingin menjadi
sesuatu yang selalu bisa kau rindu…”
Sunyi pagi ini. Aku melangkah ke dapur. Ramai tak nampak batang hidung lagi. Kelihatan Azizah sibuk menjemur baju di beranda dapur. Aku melangkah keluar menikmati udara pagi.
Tik!..tik!..tik!..bunyi air menitik di atas bumbung menarik perhatian aku.
"Hujan ke Zah?". Aku bertanya sambil memandang ke langit. Nampak cerah tiada tanda-tanda hari nak hujan.
"Tak kak, itu bunyi embun menitik" balas Azizah.
"Hah! embun menitik!?.." aku benar-benar kaget! Seumur hidup aku tak pernah melihat embun menitik bagai hujan. Aku lantas menadah tangan dari susur atap menunggu embun menitik lagi. Perlakuan aku menarik minat Ida yang tiba-tiba berada di belakang.
"Tadah embun ke?"..tanya Ida. Aku hanya mengangguk tanpa memandangnya.
"Kat daun-daun tu masih banyak air embun kak.." saran Azizah sambil menunjukkan pada pokok-pokok di belakang dapur. Aku dan Ida sama-sama melangkah penuh teruja. Aku menekap kedua-dua belah tangan pada daun-daun lalu meraup seluruh wajah dengan air embun seraya berselawat Nabi.
"Kalaulah kat sana ada lagi embun yang banyak macam ni, tambah awet muda lah kita.." aku berseloroh pada Ida. Terkekeh-kekeh dia tertawa.
Pasar Filipine menjadi destinasi terakhir kami hari ini sebelum meninggalkan KK. Tak sah kalau berkunjung ke KK tanpa singgah di pasar ini. Apa yang ada di Pasar Filipine? Semua orang tahu. Segala macam kraftangan dan barang-barang cenderahati dihimpunkan di sini. Dan sudah tentunya permata Sabah yang satu ini..mutiara!
Berpinar mata memilih rangkaian set-set mutiara yang beranika warna dan saiz. Gelang, rantai, cincin, tasbih malah jam tangan juga dari mutiara dihasilkan. Pada mulanya kami berjalan dalam satu kumpulan, lama-kelamaan berpecah berasingan apabila ada yang terlalu lama memilih barangan dan ditinggalkan teman-teman. Tapi akhirnya tetap berjumpa dihujung jalan kerana pasar ini 'pusing-pusing dok tang tu jugak'.
"Tengok set muatiara ni..aku tawar dari Rm170 dapat sampai Rm60. Aku tawar sampai naik pening abang tu.!" bersemangat Saba menunjukkan pada aku. Wah! hebat kau! memang kaki shoppinglah kawan aku sorang ni! Lama berpusing-pusing aku beli beberapa helai T-shirt Sabah untuk family dan 2 utas tasbih mutiara.
Aku terlewat tiba di gerai menjual hasil-hasil laut. Azman membawa kami ke sebuah gerai yang katanya "Ini gerai makcik aku, boleh dapat harga murah." Memang betul pun. Aku lihat masing-masing memegang beberapa kotak yang telah siap diikat yang tentunya penuh dengan ikan, udang, sotong kering, terubuk masin dan tah apa-apa lagi lah.
Lewat di kaki lima menuju ke kereta, Saba menarik tangan aku menghampiri meja si penjual jam. "Cantik tak jam ni?"..lalu menyuakan pada aku. Memang cantik dan nampak feminin. "Ini aku punya..kau nak cari lain.." lalu menarik jam tersebut bila dia melihat aku mula berminat pada jam itu.
"Yang ini pun cantik kak.." mamat Sabah ini menunjukkan pada aku. Boleh tahan jugak.
"Alamak! tak de duit kecik lah!..Azhar kau bayarkan untuk aku ye..kira hadiah lah, bayar 'hutang' kau yang dulu.." aku bersahaja memandang Azhar di sebelah. Terpinga-pinga sekejap Azhar..tapi akhirnya aku lihat dia melunaskan 'hutangnya' yang dulu.
"Thank you..kau ikhlas kan?' aku menduga.
"Ok..no problem!" jawabnya. Seutas jam tangan, bukan diukur pada nilai harga tapi dilihat dari nilai keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat.
Berarak awan kelabu tika kami tiba di Aiport KK. Tapi mendung di hati siapa yang tahu? Aku bukan hipokrit. Sejujurnya aku benci menghadapi situasi ini. Apa sahaja yang bernama perpisahan pasti menyakitkan. Namun aku berusaha agar kesedihan tidak ketara di wajah walaupun hujan di hati belum berakhir.
Selepas 'check-in' masih ada masa 1 jam sebelum berlepas, Azman mengajak kami membasahi tekak di Pantai Tg Aru yang berhampiran. Suasana muram, melayani perasaan hiba untuk meninggalkan seorang sahabat ini. Ais kacang, cendol, roti john yang terhidang di depan mata dijamah perlahan.
"Sahabat-sahabatku dunia akhirat. Aku bersyukur kerana Allah telah mengaturkan pertemuan ini untuk kita setelah sekian lama terpisah"... dengan tenang kata-kata yang aku kira amat perit untuk diluahkan itu dilafazkan.
"Aku dan keluarga memohon maaf andai kami tidak dapat memberikan layanan yang terbaik untuk kamu semua. Moga persahabatan kita ini terus berpanjangan dan kalau kamu ke sini lagi jangan lupa telfon aku..aku tetap akan menunggu kamu. Aku pasti akan merindukan kamu semua.." getar suara yang tertahan-tahan itu merobek perasaan kami. Aku pandang laut lepas yang terbentang luas. Ada mata yang basah, ada rindu yang mengetuk pintu hati.
Pelukan perpisahan Azman dan Amran aku lihat bertambah erat jika dibandingkan dengan pelukan semasa tiba di KK 3 hari lalu. Entah apa yang dibisikkan kepada Amran. Entah pesan apa yang dititipkan sebagai ingatan untuk sebuah perpisahan yang entah bila bertemu lagi. Aku memerhatikan dari jauh. Saba dan Intan bergilir-gilir bersalaman dan memeluk Azizah. Kesedihan mewarnai wajah-wajah yang ceria 3 hari lalu. Azman dan Amran masing-masing tidak dapat menyembunyikan kesedihan.
Airmata bukan lagi lambang seorang lelaki sejati. Airmata jernih yang tumpah ini sejernih sebuah keikhlasan dan kejujuran atas nama persaudaraan. Melebihi batas-batas sebuah persahabatan. Untuk kesekian kalinya aku melihat Azman dan Amran menangis lagi. Betapa hibanya untuk menghadapi sebuah perpisahan.
Melewati kaunter terakhir Imigeresen aku menoleh ke belakang. Wajah sayu Azman dan Azizah menghantar pandangan perpisahan. Lambaian tangan makin hilang di kejauhan. Di balai berlepas aku melihat pesawat bagai berbalam-balam. Dalam diam airmata jatuh jua di sudut bibirku...
Di Pantai Tg. Aru sebelum berlepas pulang ke KL. |
"mengapa semua ini harus berlaku..." |
DIBELAKANG TABIR..
* Seorang sahabat yang berjanji untuk bersama trip ke KK tak muncul-muncul pada waktu yang ditetapkan. Saba bengang betul!. Tiket dah dibeli. Claim balik saba jangan tak claim! Aku rasa sampai balik ke Semenanjung bayang sahabat seorang ini masih tak kelihatan. Dengar cerita ‘orang baru’ tak nak lepaskan..hee..hee..hee
* Ada yang belanja sakan di Pasar Filipine. Habis RM2K.! Belum ke Bandung lagi dong. Mesti habis juta-juta rupiah.
* Sayang anak tangan tangankan, sayang isteri tinggal tinggalkan. Kan dah termenung, sapa nak jawab?
* Ada rahsia lama yang baru terbongkar. Hmm..patutlah masa aku jumpa mamat ni kat Regency Hotel tahun lepas asyik tanyakan minah yang sorang ni. Barang lepas jangan dikenang..belilah barang yang baru..hee..hee.hee..
Catatan peribadi di ruang waktu yang pantas berlalu..
Sahabat-sahabatku,
Suatu waktu dahulu, kita hanyalah anak-anak kecil yang tidak mengerti apa itu nilai sebuah persahabatan. Yang kita tahu hanyalah bersama-sama mencari ilmu, berlumba-lumba mengejar impian dan cita-cita yang kadangkala merobek perasaan sesama sendiri. Berlari di hujung padang, menyanyi dan berlakon arahan sendiri di pentas ilmu. Kedegilan, kenakalan dan kealpaan menjadi teman mainan kita. Menginjak dewasa apabila langkah semakin jauh, jalan semakin berliku, persahabatan ini semakin terungkai. Kita hampir terlupa pada sebuah kenangan indah dalam kesibukan dihambat waktu untuk membina sebuah kehidupan. Apabila semua impian hampir digapai, apabila semua cita-cita di dalam gengaman, pintu kenangan itu terbuka sendiri. Melangkah kembali mengutip sisa-sisa memori indah, pahit, manis dan pilu kita lena dibawa oleh emosi dan dijentik oleh nostalgia lalu. Pintu kenangan itu tiba-tiba terbuka, serpihan kenangan itu tiba-tiba bercantum semula, membunga rindu yang harum, merenda hari-hari yang suram. Pasti ada kesilapan dan kekesalan yang ingin kita tebus dek kealpaan semalam. Pertemuan selepas perpisahan yang panjang ini tidak akan diakhiri lagi oleh perpisahan kerana kita kini telah semakin matang dan mengerti untuk mengikat nilai persahabatan ini dengan tali persaudaraan. Menjulangnya sebagai satu sejarah peribadi yang dikenang hingga nafas terhenti...
Untuk Azman, Azizah, Zizie, Iqbal dan Raffiq...semoga Allah memberkati dan merahmati hati-hati suci kamu.
No comments:
Post a Comment