Friday, December 14, 2012

Kun Fayakun itu milikNya..


Assalammualaikum.

Kalendar 2012 ini sudah sampai ke penghujungnya. Akan berakhirnya satu lagi tahun yang penuh cerita suka duka.

Hati bagai sekeras batu. Keras seperti karang yang teguh dipasak iman. Semilir lembut bertukar menjadi badai semalam masih berbekas.  

Jika ini ketentuanNya, apa lagi yang harus aku sesali. Mana mungkin untuk aku mengkhianati.

Redha itu ikhlas, pasrah itu menyerah. Redhakah aku?   Mana mungkin untuk aku redha bila hati bagai disiat2. Bila hati bagai tidak ikhlas untuk menerima segalanya. Bila kesedihan membuak2 menyentap seluruh isi diri. Merenggut seluruh semangat untuk terus berdiri.

Pun begitu..alhamdullillah.. dengan secebis iman yang masih bersisa setelah aku hamburkan segala tangisan dan airmata, kekuatan itu muncul semula untuk aku terus redha menerima ketentuanNya. Pasrah dan berserah atas segala ujian dan dugaan ini. 

Sesungguhnya Kun Fayakun itu milikNya.

Tanggal 1 Disember 2012 aku dan seluruh keluarga kehilangan orang yang tersayang. Allah telah menjemput abah untuk kembali ke sisiNya. 

Saat2 getir menerima perkhabaran itu aku bagai orang mamai tambahan lagi waktu itu menunjukkan jam 3.00 pagi. Semangat masih kuat dan kental. Tiada setitis airmata yang jatuh cuma suara aku sedikit sebak tika mengejutkan suami dan anak2 memberitahu perkhabaran duka. Mungkin aku pernah berdoa pada Allah jika saat ini tiba aku pohonkan Allah menguatkan semangat dan diri aku agar menerimanya dengan tenang. 

Pun begitu aku sedar diri. Aku belum punya kekuatan seperti Along yang telah kehilangan anaknya Rizal dan Mak yang kehilangan ibunya (arwah Wan) atau pun Idah yang kehilangan suaminya Mohd Noh yang tenang menghadapi kehilangan orang tersayang dalam hidup. Tika kereta laju membelah sunyi dan dingin pagi menuju ke kampung, begitu juga airmata aku mulai laju membasahi pipi. Bibir tidak putus2 berzikir dan sekali sekala bibir aku ketap menahan sedih. Setiap kali aku cuba menahan airmata dari gugur sepantas itu juga ianya terus mengalir. 

Tangisan makin kuat bila aku peluk Along. Aku mahu menangis sepuas2nya. Biar tiada lagi airmata tanda kesedihan. Biar kesedihan itu berlalu pergi. Jika tidak kerana Islam melarang umatnya meratapi sebuah kematian, aku lah itu orangnya yang akan menangis mendodoi2 dan meratap penuh hiba.

Sesudah Subuh, jemaah surau mula memenuhi ruang rumah membaca tahlil untuk arwah abah. Semakin cerah mentari 17 Muharam semakin ramai sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai datang menziarah. 







Daun2 pandan diracik buat bantal menggalas tubuh abah nanti. Jari jemari lincah mengadun bunga2 dan daun pandan dan airmata juga semakin lebat.









Seminggu sebelum abah pergi aku pulang ke kampung. Memang abah berlainan benar. Abah tak banyak bercakap seperti selalu walaupun suara abah sudah semakin tengelam dek kerana ketumbuhan dibahu abah yang semakin membesar. Ketumbuhan yang sudah nampak merenin dan 'masak' sangat tapi tidak pernah lesu. 

Kami cuba 'pancing' selera abah dengan bermacam2 juadah tapi satu pun tidak menjentik rasa. Abah hanya terbaring dan tidur sepanjang hari. Aku lihat abah banyak termenung. Pandangan mata abah kosong cuma di hatinya hanya Allah yang mengetahui.

Sesudah Maghrib Jumaat 30 November abah mula batuk-batuk dan sesak nafas seperti orang lelah. Menurut mak, abah sudah tidak seperti orang senang duduk. Sejak hari sebelumnya abah sudah menggelisah. Semua serba tak kena. Baring di katil resah, tidur di sofa panjang jua tak betah. Duduk, berlunjur, bersandar segala dibuat untuk memberi keselesaan pada abah. 

Memang tiada rezeki aku untuk mengadap abah di saat akhirnya meski pun Idah sudah mengkhabarkan keadaan abah yang sesak nafas pada aku jam 9.00 malam lagi. Aku tidak berasa cemas sebab sebelum ini pun abah memang mengalami batuk2 yang agak teruk. Jangkaan manusia tidak dapat melangkaui ketentuan Allah. Aku sangka abah dapat bertahan untuk beberapa ketika tapi Allah lebih berkuasa. Cuma sedikit terkilan bila usai majlis pengkebumian abah, Along bercerita ketika abah sesak nafas itu dirasakan kaki abah memang telah sejuk. Memang aku marah dan geram dengan Along kerana tidak bersungguh menyuruh adik beradik pulang segera bila mengetahui keadaan itu. Sewarasnya aku memang tak boleh juga menyalahkan Along sebab mungkin dia juga tidak menyangka itu tanda masa abah sudah hampir atau mungkin Along sendiri berada dalam keadaan kelam kelibut dan tidak menentu. 

Semua pun tidak menyangka abah pergi secepat itu. Ina (yang aku selalu panggil anak abah) terusan sms aku bila aku dah sampai ke kampung suruh aku check betul2, betul ke abah dah tak ada. Abah memang dah tak ada Ina..

 Alhamdullilah, abah pergi dengan tenang. Abah menghembuskan nafas terakhir dengan mudah ketika dia sedang duduk bersandar di birai katil. Nampak mudah dimata manusia tapi perit dan getirnya hanya dia dan Allah yang mengetahui.

Disaat2 akhir hayat abah tubuh badannya semakin kurus hingga menampakkan tulang belulang abah. Kulit2 di badan nampak menggelebeh dan mengendur. Kalau abah berbaring jelas kelihatan pipi abah tersembul keluar menampakkan  tulang pipi dan rahang yang jelas. Nampak begitu berat abah menanggung kesakitan tapi tak pernah diluahkan pada anak2. Kalau ditanya dia akan menyatakan tidak sakit. Tidak merasa apa2.

Ketika jenazah abah siap dimandi dan dikapankan semua ahli keluarga berkumpul menatap wajah abah untuk kali terakhir. Subhannallah...hanya itu yang mampu aku ucapkan bila menatap wajah abah yang sungguh bersih dan tenang. Abah nampak sangat tampan untuk lelaki yang seusianya. Wajah abah yang iras2 lelaki Arab Pakistan yang diwarisi dari arwah ayahnya jelas kelihatan. Misai dan janggut abah menampakkan  lagi wajah Arab Pakistan itu. Aku sedikit terkejut. Tidak langsung nampak wajah abah yang cengkung dengan tulang pipi yang tersembul sewaktu sakitnya dulu. 

Sejuk umpama air batu sewaktu mengucup dahi dan pipi abah untuk kali terakhir. Airmata bagai terhenti seketika. Saat yang sangat2 sebak. Kucupan yang  terakhir untuk abah. Tiada lagi selepas ini. Sejuknya membekukan tangkai hati. Iman dan Anas tidak menyambut lambaian aku untuk mendekati jenazah abah. Kedua-duanya menggelengkan kepala. Hanya berlindung di pintu bilik memerhati dari jauh dengan mata yang basah.





Alang Izam menemani jenazah menantikan saat untuk dibawa ke tanah perkuburan.











Perjalanan terakhir... selamat tinggal isteriku, anak2ku, saudara2 ku. Redhakan pemergianku menemui Kekasihku.


Aku memang seorang yang lemah semangat dalam hal2 yang berkaitan dengan kematian. Selalunya aku lebih senang untuk berada di rumah sahaja apabila orang lain bergegas mengiring jenazah hingga ke tanah perkuburan. Tapi tidak kali ini. Bagai ada satu kekuatan datang dalam diri untuk aku terus melangkah mengiringi jenazah abah ke kuburan. Selebihnya aku tidak ingin merasai lagi saat2 yang sangat sunyi dan sepi berada di rumah selepas semua orang pergi. Aku merasai ini ketika arwah Wan dulu. Aku dan Ina sahaja yang tidak ikut ke kuburan pada waktu itu kerana Anas dan Ammar tidak sihat. Tinggal kami berempat sahaja di rumah. Ketika itu lah aku merasai suasana yang sangat2 sepi, sunyi, kosong, terasa sangat sebuah kehilangan. Itulah yang disebut orang, sunyi selepas sebuah kematian. Sangat2 meruntun perasaan. Memilukan. Memedihkan. Aku tidak ingin lagi merasai semua itu. 

Kekuatan juga datang untuk aku mengintai ke liang lahat saat tubuh abah diangkat untuk disemadikan. Airmata terus mengalir. Entah untuk kali yang keberapa tapi yang pasti kelopak mata aku menjadi tersangat bengkak!. Tak mampu untuk aku menahan lagi saat muka jatuh ke bahu Suzana yang datang menziarah bersama ke tanah perkuburan. Sekali lagi rasa sebak dan sedih itu bergema bersama tangisan yang panjang.  

Maafkan ita abah. Meratapi pemergian abah yang akan menambah lagi kesakitan buat abah. Maafkan anakmu yang terlalu cenggeng dan rapuh ini. Ampunkan aku ya Allah!.





Bersemadinya  Almarhum Ayahanda Baharudin bin Pehee pada 1hb Disember 2012 (Sabtu) bersamaan 17 Muharam 1434H.

"berpisah sudah segalanya
yang tinggal hanyalah kenangan
diiringi doa dan airmata
yang pergi tak akan kembali lagi.."


Hari ini genap 2 minggu pemergian abah. Sebuah kehilangan yang tak mungkin berganti. Sebuah kekosongan yang tak akan terisi. Walaupun aku bukan  'anak abah' tapi di mata dan di hati aku abah seorang yang sangat istimewa. Abah tegas dan sedikit garang. Dalam garang masih ada gelak tawa. Masih ada lawak lucu yang selamba. Biarlah abah tenang di sana. Di sisi sang Penciptanya. Abah tetap hadir dan bersama dalam hati kami semua. 



"Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ayahku, kasihani dan sejahterakanlah dia, maafkan kesalahannya, muliakan kedatangannya, lapangkan kuburnya dengan rahmatMu yang maha Pengasih.."


Al Fatihah...



"meski ku rapuh
dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
 hanyalah padaMu
maafkanlah 
bila hati tak sempurna 
mencintaiMu 
dalam dada
 kuharap hanya
diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu..."


1 comment:

  1. AS salam Ita,

    Menitis airmata kc mmbaca entry ini. Kehilangan org yg kita sayang .. antara yg paling pahit dalam kehidupan. Tapi itu janji kita dengan Dia. Menjadi HambaNya di dunia untuk sementara sebelum kita berjumpa Dia disana. Al-Fatihah buat Arwah.

    ReplyDelete