Bangun pagi tadi mata basah dan bengkak sebab malam tadi menangis teringatkan arwah Opah. Dah lama aku tak rasa cam ni. Cepat2 sedekahkan Al-Fatihah untuk Opah. Agaknya beberapa hari ni aku agak terlalai untuk menyedekah Al Fatihah dan ayat2 suci untuknya.
Opah dah pergi menghadap penciptanya lebih kurang 25 tahun yang lalu. Tapi Opah selalu dekat di hati aku. Di entri kali ni aku nak catatkan kenangan sewaktu bersama Opah selama hayatnya di sisi aku. Bila rasa rindu kat Opah mungkin kenangan2 ini mampu memadamkan rasa rindu itu.
Aku antara cucu opah yang paling manja dan paling rapat dengannya. Opah nama sebenarnya Rokiah Bt Awang. Orang kampung di Kerling panggil dia Long Kiah. Setiap kali watak opah dalam drama atau filem adalah orang yang gemuk dan latah. Macam tu lah Opah aku. Opah adalah nenek di sebelah ayah aku atau lebih senang nak faham mak ayah aku. Nenek sebelah mak aku panggil Wan.
Aku mula rapat dengan Opah masa berumur 11 tahun. Sebelum ni aku selalu ikut abah bertugas jauh dari kampung Opah. Bila abah ditukarkan ke Ulu Yam Bharu, setiap kali cuti sekolah aku akan bercuti ke rumah Opah di Kerling.
Opah orangnya hidup dalam keadaan sederhana. Nak kata kaya tapi kadang2 aku tengok Opah ni macam miskin gak. So aku kategorikan sebagai sederhana. Badan Opah gemuk dan rendang. Tabiat Opah yang aku tak tau dia dapat dari keturunan mana tah ialah melatah. Aku tengok anak2 Opah yang lain tak melatah cuma anak keduanya aku panggil Mak Ngah Ma'ah je yang terikut2 melatah.
Opah merupakan penyeri, penglipurlara kat majlis2 orang kahwin kat kampung. Aku selalu ikut Opah merewang kalau ada majlis kahwin. Orang2 kg suka mengusik atau melatahkan Opah dan kemudian akan tertawa beramai2 apabila Opah akan mengajuk apa sahaja yang dibuat orang bila dia dah melatah. Kadang2 aku kesian tengok Opah bila dah sedar dari latahnya dia akan termengah2 sebab penat. Pun begitu Opah tak pernah tunjukkan rasa marah pada orang kampung. Pernah sekali orang2 kampung 'kerjakan' dia sampai Opah pengsan. Aku menangis bila tengok Opah aku diperlakukan begitu. Tapi pada orang2 kg itu semua perkara biasa. Mereka dah tahu macamana nak pulihkan Opah semula.
Kalau aku balik kg Opah paling suka buatkan aku tapai ubi. Aku pun tak tau macamana aku boleh suka tapai ubi sampailah sekarang. Cuma yang pasti bila Opah ajar aku cara buat tapai ubi dari mula hingga tapai ubi 'masak' buatkan aku jatuh cinta dengan tapai ubi. Aku selalu tunggu dan temankan Opah buat tapai ubi dari mula hingga akhir dengan sabar. Opah akan rebus ubi, sejukkan, tabur ragi dan susun dalam pasu. Semuanya aku tunggu dengan sabar. Opah tak bagi aku kacau dia masa buat tu. Cuma yang boleh tengok je. Lepas penuh pasu dengan ubi2, Opah aku tutup dengan daun pisang dan bungkus pasu dengan kain batik dan ikat kuat2. Opah akan selitkan paku dan cili kering dalam bungkusan tu...kalau tak silap aku lah. Aku tak tanya pun apa tujuan paku dan cili kering tu. Lepas tu Opah akan simpan pasu tapai bawah katil. Esoknya aku akan jenguk bawah katil nak tengok tapai dah 'masak' ke belum. Opah selalu marah. Dia kata tak payah tengok2, kalau tapai tu dah 'masak' akan berbau harum. Dia tau aku memang tak sabar nak makan tapai.
Ubi yang ditabur ragi sebelum dibungkus.
(gambar ehsan google)
tapai yang dah siap 'masak' dan ready utk disantap.
(gambar ehsan google)
Opah dan sireh memang dah jadi trademark kat kg. Orang kg kalau teringin nak makan sireh akan datang ke rumah Opah. Seingat2 aku, rumah Opah tak pernah sunyi dari tetamu setiap hari. Samada nak merasa sireh Opah atau saje2 nak usik Opah supaya Opah melatah. Opah tak kedekut. Siap tanam pokok sireh lagi kat belakang rumah sebagai stok untuk dia. Aku suka petik daun sireh dan susun dalam tepak sireh Opah. Malam2 aku selalu temankan Opah makan sireh. Aku pun kadang2 makan gak. Boleh tahan sedap cuma yang tak tahan pedasnya! Tapi aku tak nak jadikan habit dan tak nak sambung keturunan Opah yang makan sireh. So sekali2 je aku makan sireh. Aku akan gobekkan sireh untuk Opah. Gobek Opah dari tembaga. Tepak sireh Opah pun dari tembaga. Korang tau ke apa gobek tu? Search lah kat google. Aku gobek sireh Opah sampai lumat baru Opah makan. Opah kata gigi dia dah tak kuat. Opah ajar aku macamana nak kopek pinang pakai kacip. Kalau kacip tajam senang sangat nak kopek pinang yang kotai tu. Sekarang ni bila aku tanya Usu kat mana tepak sireh dan gobek tu nak buat kenangan..Usu kata ..kirim salamlah..orang tarik ibu duit dah songlap semua..(Usu tak cakap cam tu..aku translate pada bahasa yang korang mudah faham.)
Inilah contoh tepak sireh, kacip dan gobek. Aku ambil dari blog sapa tah. Rasa2nya cam Opah aku punya je..jgn marah ye yang empunya gambar.
Waktu kecil2 aku memang penakut sangat. Tak tau lah dari mana sifat penakut tu datang. Aku terfikir gak, kenapa aku jadi sangat penakut lebih2 lagi truma bila dengar ada kematian. Kalau berita kematian tu kat hujung kg aku rasa cam nak lari je. Kalau boleh jangan langsung berita2 tentang kematian sampai ke telinga aku. Masa ni aku tak akan berenggang dengan Opah. Usu, anak bongsu Opah selalu takut2kan aku. Usu pernah kena marah dengan Opah sebab takutkan aku masa aku masuk bilik nak ambil baju. Aku menjerit terpekik terlolong sambil lari kat Opah dengan muka pucat lesi. Opah kata adik dia meninggal sebab terlalu penakut. Orang yang takutkan adik dia adalah Opah sendiri! Tu sebab Usu kena marah habis2an lepas takutkan aku. Aku tidur bawah ketiak Opah bila balik kg dan 'rampas' tempat tidur Usu. Tu sebab kot aku rasa kadang2 Usu cam anti je dengan aku. Selalu kalau tidur aku tak bagi Opah tidur dulu sebab kalau Opah dah tidur dulu aku pulak tak boleh tidur. Opah tidur berdengkur! Aku akan kejutkan Opah dan bagi aku tidur dulu. Opah akan ketawa terkekeh2 tengok perangai aku tu.
Depan rumah Opah ada sebatang pokok bunga tanjung yang besar. Tiap2 pagi belum basuh muka lagi aku dah turun ke tanah dan kutip bunga2 tanjung yang jatuh bertaburan melatari laman Opah. Harum bau bunga tanjung sungguh semerbak. Aku akan cucuk bunga2 tu dengan benang dan buat panjang2. Tau nak buat apa? Nak letak kat kepala Opah. Lilit kat sanggul dia. Sanggul yang cinonet tu. Aku panggil siput. Selalunya lepas balik dari mandi sungai pagi2 Opah akan berdandan. Opah akan tempek muka dia dengan bedak sejuk yang dibuat sendiri. Aku lilitkan kalungan bunga tanjung kat siput dia. Atau pun Opah aku letak bunga2 tanjung dalam almari baju untuk mewangikan baju2 dia. Dan kadang2 campur dalam botol bedak sejuk. Bagi wangi bedak tu. Kreatif gak Opah aku ni.
Ini lah bunga tanjung. Putih dan harum mewangi sewangi kasih Opah. |
Rumah Opah dekat dengan sungai. Boleh dikatakan kehidupan orang kg masa tu untuk membasuh, ,mandi manda hatta untuk 'membuang' pun bergantung kepada sungai. Orang dulu2 sering menuba ikan di sungai. Tau tak apa itu menuba? Korang memang orang bandar lah! Memang korang tak ujud lagi zaman tu. Zaman sekarang ni perkataan tuba tu dah hampir lenyap dan tak digunakan bilamana sungai2 sekarang pencemarannya aje dah boleh buat buaya pun timbul. Pendek cerita menuba tu ialah racun dari pokok tuba yang dicurah dari ulu sungai untuk bagi ikan2 dalam sungai 'mabuk' dan senang nak ditangkap. Pokok tuba camne? Cari kat library.
Satu petang aku temankan kawan aku ni si Ana basuh pinggan kat sungai. Tak de orang time tu sebab petang biasanya xtvt orang kg ialah tidur aka berehat. Dia basuh aku bilas. Tiba2 aku tengok kat permukaan sungai ikan melompat2 dan banyak ikan yang nyawa2 ikan dihanyutkan air. Kebanyakannya ikan putih. Wah! apalagi aku dan Ana pun menjeritlah..tuba!..tuba!..orang menuba!...excited kau sebab jarang2 dapat jumpa orang menuba nih! Sekejapan sungai dipenuhi orang kg datang dengan raga, tapis, jaring dan macam2 nak tangkap ikan yang dah 'mabuk' tu. Semuanya bagaikan berpesta. Pesta tangkap ikan dan dapat ikan free. Aku dan Ana tak kira basah dah meranduk sungai mengejar ikan2. Memang menyeronokkan sampailah aku hampir 'tak sedar diri' bila aku tiba2 terpandangkan Opah aku datang terkedek2 dengan bakul plastik yang buat pegi pasar tu nak tangkap ikan. Aku renung bakul kat tangan Opah. Ni macam bakul tempat anak ayam dia je. Tah kat mana lah dia letak anak ayam tu agaknya. Aku tengok Opah terkial2 nak tangkap ikan. Aku datang dekat dengan Opah. "dapat ikan Opah?''.. Opah pandang aku.."bakul ni bocor pulak.." kata Opah lemah. Alahai..kesiannya Opah aku. Apa lagi..aku capai je tapis plastik Ana dan kaut ikan2 yang bergelimpangan dipermukaan sungai. Malam tu aku, Opah dan Usu dinner dengan ikan sungai goreng yang garing dan sedap makan dengan nasi panas2. (kenangan ni tak akan aku rasai lagi..)
cam ni lebih kurang ikan sungai tu. aku panggil ikan puteh. Goreng garing2 pun sodap!
cam ni lebih kurang ikan sungai tu. aku panggil ikan puteh. Goreng garing2 pun sodap!
Bila aku semakin meningkat remaja dan duduk di asrama, masa cuti aku banyak dihabiskan dengan famili sendiri. Sekali sekala aku jenguk Opah kat kg. Bila Usu dah berkahwin dan ikut suaminya duduk di Gombak Opah tinggal sendirian. Cuma anak cucu dan jiran tetangga yang tolong tengok2kan Opah. Habis form 6 sekali lagi abah ditukarkan ke Klang. Aku ikut abah dan mula bekerja sementara tunggu panggilan UPU. Masa ni Opah dah semakin uzur. Opah sering sakit2. Badan Opah yang bulat tu dah mula menipis. Kulit dilengannya jelas menggelebeh. Opah 'berpinda randah' dari satu rumah ke satu rumah anak2nya. Masa dia datang ke Klang aku masih tidur dengan Opah. Masa ni dia dah uzur sangat. Opah selalu mengadu sakit perut. Perutnya rasa panas. Makan pun tak berselera. Pernah suatu malam dia suruh letakkan teling aku di perutnya dan dengar apa yang ada dalam perut tu. Korang agak apa yang aku dengar? Bunyi perut berkeriuk2 sebab lapar atau bunyi cacing lapar? Sampai sekarang aku masih ingat lagi bunyi yag aku dengar itu. Bunyinya seakan2 bunyi menggelegak bulp!..bulp!...bulp!..ngerikan?
Aku teringat Opah pernah memberitahu aku kalau dia nak mati biarlah dia mati sebelum hari kiamat. Dia takut mati bila hari kiamat sebab masa tu bulan bintang akan jatuh bertaburan di atas mukabumi. Bumi akan terbelah dan dia akan dihempap oleh bulan bintang. Itu imaginasi Opah tentang hari kiamat. Aku yang kecil masa tu tak tahu apa itu hari kiamat. Hanya mendengar cerita dari Opah. Dalam hati aku cuma ada satu perkara saja waktu itu. Kalau ditakdirkan Opah meninggal, aku harap masa tu aku tak ada kat Malaysia ni. Biar aku jauh dari Opah. Biar aku hanya mendengar berita Opah dah meninggal. Sebabnya aku tak sanggup nak menghadapi saat2 itu.
Bila Opah semakin uzur dan mula menaburkan najisnya dimerata2 tempat dia minta dihantar balik kg. Aku terlalu naif waktu itu tentang kematian. Aku tahu mak dah dapat membaca tanda2 itu sebab bila aku tanya mak opah dah nak meninggal ke?..mak hanya diam tak kata apa2 pun. Selang beberapa minggu lepas tu abah dapat call dari kg suruh abah balik sebab Opah dah tenat sangat. Aku tanya mak lagi Opah dah meninggal ke? Mak kata balik je..Sampai kg aku lihat sedara mara dan orang2 kg berkumpul di rumah Opah. Aku masuk melalui pintu dapur. Tapi bila aku melintas bilik rumah tingkat bawah aku seakan2 terlihat sesuatu dari tingkap yang terbuka. Aku dah mula rasa lain macam. Perasaan bercampur baur. Telahan aku benar belaka bila aku menjejakkan kaki di bilik bawah. Sekujur tubuh Opah terbaring kaku berselimut kain batik lepas. Aku hanya mampu terjelepok di hujung kaki Opah. Saat itu airmata tak dapat ditahan2 lagi. Bagai mutiara terputus dari tali. Bagai hujan mencurah2 tanpa henti. Itulah keadaan aku di saat itu. Aku hanya mampu pegang kaki Opah yang kaku, sejuk dan membeku. Aku tak mampu nak tatap wajah Opah saat itu. Rupa2nya Opah dah 'pergi' masa orang kg telefon abah tu. Mak memang tak nak bagi tau aku. Agaknya mak takut aku 'meroyan'..(hehehe..dalam sedih boleh ketawa lg. Anas termanggu2 tengok aku menangis masa taip entri ni..)
Masa jenazah Opah dimandikan aku hanya mampu melihat saja. Cucu kesayangan Opah nan sorang ni tak mampu nak buat apa2 even nak tolong2 jiruskan air kat badan Opah. Aku sendiri bermandikan airmata yang tak henti2 mengalir. Yang tak dapat ditahan2. Kertas tisu tak terdaya untuk mengeringkan airmata. Entah siapa yang menghulurkan good morning towel pada aku. Habis lencun towel tu dengan airmata aku. Seingat aku inilah tangisan yang maha hebat pernah terjadi dalam hidup aku even menangis putus cinta pertama pun tak sehebat ini. Bila jenazah dah siap dikapankan pun aku masih tak mampu nak cium Opah disaat2 akhir. Orang kata nak cium jenazah tak boleh menangis nanti kalau menangis jenazah akan rasa sakit. Biarlah..biarlah aku rasa terkilan ke apa ke sebab tak dapat cium Opah asalkan Opah tak rasa kesakitan itu. Aku tak ikut menghantar jenazah Opah kekuburan sebab satu lagi kelemahan aku ialah aku sangat2 'alah' dengan kubur2 ni. Nanti aku tak boleh tidur malam. Memang penakut betul.
Dalam masa sebulan selepas pemergian Opah, aku masih dihantui oleh bayangannya. Opah sering datang dalam mimpi aku. Kadang2 terasa2 dia mengusap2 kepala aku. Serius! Rasa betul2! Mustahil untuk aku lupakan orang yang paling aku sayangi dalam hidup ini. Bukan bermakna aku tak sayang mak abah tapi sayang pada Opah ni lain. Korang yang pernah rasa mesti tau macamana kan. Opah pergi terlalu cepat. Belum sempat aku nak belanja dia dengan duit gaji pertama aku. Tak dapat nak bagi apa2 kat dia. Cuma satu yang dapat aku lakukan setelah hampir 25 tahun berlalu..iaitu menziarahi pusara Opah untuk kesekian kalinya pada akhir tahun lalu. Pelikkan? Memang aku tak pernah ziarah kubur Opah even masa raya pun. Mungkin masa yang telah lama berlalu, banyak pengalaman dalam menghadapi kematian sedara mara terdekat buatkan aku punya kekuatan diri untuk melangkah ke kawasan perkuburan. Ketika menghantar jenazah abang sepupu aku Abang Awi tahun lalu aku di bawa Usu ke kubur Opah.
gambar ehsan google. |
Setelah beberapa tahun berlalu ketika kadang2 aku bersendirian aku selalu memikirkan apa sebenarnya penyakit Opah itu. Akhirnya aku seperti seorang doktor yang membuat kesimpulan sendiri hanya untuk menyedapkan hati aku ialah Opah menderitai kanser perut atau kanser usus. Mungkin sebab Opah banyak makan sireh dari usia mudanya dan kesannya dideritai dihari tua. Sireh yang bercampur kapur itu yang menyebabkan usus perutnya luka dan dijangkiti kuman yang akhirnya meragut usia Opah. Kapur sireh adalah sejenis asid yang boleh dimakan tapi kesannya hanya terlihat dalam waktu yang panjang.
Dan hari ini, ketika aku menulis entri ini aku sebenarnya tak sangka dapat menceritakan sebahagian kenangan2 bersama Opah dengan jelas sekali di ruang mata dan minda walau pun ianya dah berlalu berabad lamanya. Sebab segala kenangan2 itu bersatu dan abadi dalam diri aku. Semoga arwah Opah mendapat keampunan Allah, keredhaan, dirahmati dan ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman. Moga Opah aman bersemadi sisiNya. Kasih aku pada Opah akan terus mewangi seharum semerbak bunga tanjung di pagi hari. Amin.
Ini sahaja gambar Opah yang ada pada aku sekarang ni. Bila2 nanti aku terjumpa gambar2 yang lain aku akan letak banyak2 kat entri ni.
IR : kau abadi dalam hati hingga akhir nanti.
No comments:
Post a Comment