Monday, June 8, 2015

Aku juga terluka..Mt Kinabalu.


21 Sya'ban 1436H.


Tinggi tinggi Gunung Kinabalu
Tinggi lagi sayang sama kamu
biru biru hujung Kinabalu
tengok dari jauh hati saya rindu..

Dalam banyak2 gunung di Malaysia kenapa aku jatuh cinta dengan Kinabalu? Aku sendiri tidak tahu. Bukan disebabkan oleh ketinggian dan gahnya di seluruh Asia Tenggara ini tetapi seperti ada satu semangat lain yang menarik dan melambai2 aku untuk ke sana.

2010 ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Negeri di Bawah Bayu ini hati bagai ditarik2 untuk menatap Kinabalu. Hajat tidak kesampaian bila Kinabalu ditutupi awan tebal dan berkabus semasa aku sudah bersedia untuk melepaskan rindu.

2014 semangat Kinabalu sekali lagi menggamit aku. Kali ini aku datang sebagai seorang puteri yang akan bersemayam di dadamu Kinabalu. Melampiaskan rindu yang bertahun aku simpan untuk bersamamu.

Angin sejuk dingin, udara yang nyaman dan segar, haruman bunga2 hutan menyambut langkah aku untuk menggapaimu. Walau akur dengan kudrat yang lemah perlahan2 aku atur langkah dan kuatkan semangat untuk sampai ke puncak bahagia. Bukan sedikit lelah yang aku tinggalkan nun jauh di belakang demimu. Terlalu banyak halangan mengikatku agar tidak mendekatimu. Luka dan calar di kaki aku lupakan demi untukmu.

Berdiri di dada mu Kinabalu benar2 aku seperti berada di puncak dunia. Awan gemawan berarak nun di hujung kaki di bawah sana bagai aku tidak percaya. Beradu di dadamu dalam dingin malam yang mencengkam menusuk ke tulang hitam. Menghirup secangkir kopi di cafe tertinggi di dunia mana bisa aku lupakan. Kabus kelabu mengelilingi setiap daerah jajahanmu yang membuatkan aku bertambah rindu. Terimakasih Kinabalu kerana menyambut aku dengan penuh kasihmu walau seketika cuma.

5 Jun 2015 Kinabalu yang begitu nyaman dan aman tiba2 bergegar murka. Aku tersentak seketika. Angkara siapa yang melukakan mu hingga sayapmu patah tiba-tiba? Durjanalah mereka yang telah mencela mu hingga yang lain menjadi korban.

Kinabalu..aku tahu kau kini terluka. Tersayat sembilu bila kehormatanmu diinjak-injak oleh mereka yang telah hilang tamadunnya. 




Kinabalu...bukalah kembali laluanmu untuk orang-orang seperti kami yang sangat menghormatimu. Kembalikan keindahan dan kenyamanan mu sekali lagi.  Segera pulih Kinabaluku. Aku ingin kembali bersamamu.

Malu malu si Kinabalu
hati terus di palu rindu...

No comments:

Post a Comment