Tuesday, May 21, 2013

Noktah yang dinanti..



Salam bahagia.


Semalam aku sempat melawat rakan sekerja yang terlantar tenat di Hospital Selayang. Walau pun tidak berapa rapat, lebih tepat tidak berapa kenal sebab dia bertugas di HQ tetapi pernah berjumpa sekali dua semasa aku ada tugasan di sana suatu ketika dahulu.

Dari sumber yang aku dengar dia mengidap kanser payudara beberapa tahun yang lalu. Walaupun telah menjalani rawatan dan keadaannya bertambah tenat kebelakangan ini bila virus itu telah merebak kebeberapa bahagian anggota badan yang lain.

Dalam kesibukan waktu aku, ninie dan pn. shila meredah Guhtrie Highway yang agak lengang dan laju menuju ke Hosp. Selayang. Kami tiba sebelum waktu melawat. Nasib baik ada seorang hamba Allah yang menunjukkan jalan 'rahsia' untuk sampai ke wad 4C tanpa melalui guard yang bertugas.

Melingas mencari katil bernombor 24 hati tiba2 berdetap bila katil yang dijumpai kosong dan telah dikemas rapi. Seorang perempuan Cina menunjukkan bilik dihadapan dan memberitahu beliau telah dipindahkan ke bilik yang hanya menempatkan  untuk seorang pesakit sahaja.

Melangkah masuk aku lihat ramai ahli keluarga yang berada di bilik menemani rakan ini. Anak2nya kelihatan letih dan tertidur di sofa. Suaminya aku lihat hanya berdiri di hujung katil. Hanya sang ibu yang setia menemani dan membelai badan rakan ini sambil memandang kosong kepada kami.

Dia kelihatannya sedang tidur dengan pulas sekali dengan kepala yang terlentuk sedikit tanpa ada sebarang tindak balas bila aku dan pn shila memegang tangan dan berbisik di telinga. Tarikan nafasnya yang semakin lemah dan payah mengingatkan aku pada pesanan CT Fatimah yang mengkhabarkan beliau dalam keadaan tenat. Satu...satu...nafas itu bertaut. Terlalu payah, terlalu lelah. Airmata aku mula bergenang.

Walaupun tidak mengenali secara rapat dengannya tetapi sebagai seorang perempuan, sebagai seorang isteri aku dapat merasakan apa yang ditanggungnya selama ini. Dugaan Allah atas penyakit yang dihidapi dan dugaan dalam kehidupannya sendiri bersama suami dan anak2 mengundang rasa simpati di hati.

Aku mengusap2 lembut tangan rakan yang pasti sudah tidak lagi  mendengar dan mengenali sesiapa pun di sekelilingnya ketika ini. Drip yang dipasang di tangan sudah tidak mampu lagi untuk diterima oleh tubuh. Cairan itu mengalir keluar membasahi baju. Seorang jururawat terpaksa mencari bahagian tubuh yang lain untuk memasukkan drip yang baru. 

Aku hanya mampu untuk menenang dan menyabarkan ibunya di atas segala apa yang dihadapi dihadapannya kini. Airmata si ibu mula mengalir bila menceritakan kebaikan dan penderitaan si anak. Si ibu sempat membisikkan.."doktor kata dah tak boleh buat apa2. Semalam kawan baik dia datang dari kampung dan itulah kali terakhir dia membuka mata dan meminta maaf kepada semua. Makcik ingat makcik yang akan pergi dulu..." Si ibu teresak2.  Airmata aku mengalir laju.

Malam tadi aku menerima sms dari ninie mengkhabarkan dia telah dijemput Tuhan jam 7.10 malam. Innalillahhi wainna illahirajiun...kepada Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.

 Tiada lagi kesakitan yang ditanggung dan tiada lagi penderitaan hati dan jiwa yang telah kosong. Mungkin ini lah jawapan yang dicari selama ini. Mungkin kita menangisi pemergiannya tetapi mungkin dia juga sangat rindukan kematian ini yang dapat menamatkan segala penderitaan. Untuk sahabat ini Hasanah bt Nazri, semuga tenang dan damai di sisiNya.  Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman. 

Al Fatihah...










No comments:

Post a Comment