Friday, October 18, 2013

MAAF YANG TAK TERUCAP..

Assalammualaikum.




Hanya Tuhan yang tahu. Sesungguhnya tiadalah mati itu dapat ditangguh atau dicepatkan walaupun sesaat.

Kadang kala firasat hati itu ada benarnya. Cuma kita yang tidak mahu mengiyakan atau menerima kenyataan.

Rasanya baru semalam. Memang baru sangat aku menziarahi Mak Andak Senah ini yang terlantar sakit. Selepas sembahyang Hari raya Aidil Adha 3 hari lalu aku mengajak mak ke Kg Kuantan.  Dia terlantar sakit tua di rumah anaknya setelah aku tidak bertemu ketika menziarahinya di hospital sehari sebelum Aidil Adha yang lalu. Kami tiba di hospital ketika dia telah dibenarkan balik ke rumah. Yang ada hanya katil kosong. Nasib aku lah tidak dapat menemuinya kerana mak telah mengajak aku ke hospital semenjak hari Ahad lagi tapi dek kerana penangan Salman Khan dan Katrina Kaif aku masih berteleku di hadapan television. Dalam hati tetap berdoa moga aku diberi kesempatan untuk bertemunya. 

Setiap kali mengingatkan Mak Andak aku pasti teringatkan cerita sayu pilu ini. Mungkin tak ramai yang tahu tapi aku pernah bercerita pada mak kisah ini. Mungkin pada mak atau sesiapa yang pernah mendengar dari mulut aku menganggapnya cuma cerita biasa tapi tidak pada aku.

Mak Andak adalah sepupu pada Mak sebelah Wan. Mak kepada Mak Andak adalah kakak Wan. Mak saudara sepupu pada aku. Orangnya pendiam. Sangat2 pendiam. Semasa remaja aku memang tak ambil tahu sangat latarbelakang keluarganya cuma yang aku tahu dia ada 3 orang anak lelaki. Sahak, Mail dan anak kesayangan Usop. Mungkin sebab anak2nya lelaki jadi hubungan aku dan anak2nya agak terbatas. Siapa nama suami dan asalnya juga tidak aku pedulikan.

Hubungan aku dan Mak Andak seperti saudara mara yang lain. Ada ketika aku berkunjung ke rumahnya bersama2 keluarga atau dia bermalam di rumah mak jika ada kenduri kendara.

Ketika majlis perkahwinan Along hampir 30 tahun yang lalu kisah ini terjadi. Setelah selesai kenduri sudah menjadi adat tuan rumah untuk memberi nasi berkat pada sanak saudara yang hadir. Aku antara yang tersibuk mengagih-agihkan nasi berkat. Sebab ramainya saudara-mara yang hadir nasi yang sudah disediakan telah habis dan terpaksa untuk membungkus yang baru. 

Ketika aku ke dapur aku lihat Mak Andak berseorangan duduk di tepi periuk yang besar sedang mengaut nasi dan dimasukkan ke dalam plastik. Aku lihat nasi di dalam periuk hampir habis dan yang tinggal hanyalah kerak yang semakin mengeras. Tanpa berlengah lagi aku meminta dari Mak Andak nasi yang telah siap di dalam plastik untuk diberikan kepada saudara mara yang lain. Mungkin sebab aku tuan rumah Mak Andak terus memberi pada aku tanpa berkata apa-apa. Ketika aku sedang mengikat nasi dan lauk pauk yang lain Mak Andak terus mengaut sisa-sisa nasi dicelah2 kerak yang telah keras. Menguis-guis mencari sisa-sisa nasi yang lembut yang masih ada dan meletakkan di dalam bungkusan plastik yang baru. Selesai aku membungkus dan ketika ingin berlalu pergi aku pun berkata pada Mak Andak.

"tak payah bungkus lagi Mak Andak, dah cukup dah. Semua orang dah dapat lagi pun nasi tu dah tinggal kerak" sambil kaki aku mula nak melangkah pergi.

Tapi apa jawapan yang Mak Andak  yang membuatkan aku terpempan dan rasa nak terduduk!

"tak apa lah..ini untuk Usop.." jawabnya perlahan sambil tangan terus menguis-guis mencari nasi yang lembut dicelah2 kerak yang keras. Wajah sayunya benar-benar meruntun hati aku.

Dum!

Jawapannya menghentak rasa sesal di kepala aku. Memukul hati dengan penuh rasa sayu, bagai tersayat2. Rasa airmata aku bagai nak mengalir. Ada rasa menyesal yang amat sangat. Kiranya nasi yang ditangan aku yang aku minta dari Mak Andak tadi adalah untuk bekalan anaknya Usop. Aku telah merampas nasi yang terakhir untuk anaknya itu untuk aku berikan kepada orang lain. Ya Allah...hati aku diburu perasaan bersalah yang teramat sangat!

Betapa kasihnya seorang ibu pada anaknya tapi tak mampu untuk aku tafsirkan kerana kekhilafan dan menjadi buta dek keegoan aku yang bergelar tuan rumah. Kenapa tak terfikir dibenak aku untuk bertanya untuk siapa bekalan nasi yang dibuat olehnya itu?

Aku terus berlalu bila aku lihat sudah hampir separuh dari nasi diisi di dalam plastik walau pun tidak sepenuh yang mula2 tadi.

Semenjak kejadian itu setiap kali aku teringatkan Mak Andak atau bercerita tentangnya, kisah ini seakan menjadi duri di hati aku. Setiap kali itu juga hati aku menangis. Aku tidak tahu apa perasaan Mak Andak terhadap tindakan aku itu tapi aku memang rasa tersangat bersalah. Setiap kali hari raya atau ada peluang untuk menziarahinya aku sedaya upaya akan cuba untuk pergi bertemunya. Seakan untuk menebus kembali kesalahan lalu.

Ketika melawat Mak Andak 3 hari yang lalu dia terbaring di atas katil besi bujang berwarna merah hati. Entah kenapa katil besi merah hati ini buatkan hati aku terdetik lagi setelah beberapa kejadian yang lalu berlaku. Katil besi ini seakan memberi petanda buruk pada aku. Ahh...semua itu kebetulan. Hati seakan berkata ya..tapi akal berkata tidak.

Mak paling terkejut melihat Mak Andak nampak semakin sihat dan wajah juga nampak ceria dan bercahaya jika dibandingkan semasa mak melawatnya di hospital beberapa hari yang lalu. Mak tak putus-putus mengulangi rasa terkejutnya. Bisiknya kepada aku, semasa di hospital keadaan Mak Andak sudah seperti orang yang sangat tenat tapi di hadapannya kini Mak Andak sudah boleh minum dan berkata-kata walau pun dalam keadaan berbaring. Sekali lagi hati aku berkata ya..tapi akal berkata tidak.

Petang semalam khabar duka itu akhirnya tiba jua. Memang aku tidak menjangkakan secepat itu. Mak Andak telah dijemput Sang Penciptanya. Sempat aku mencium dahi dan pipinya 3 hari yang lalu sebagai menebus kekhilafan aku walau tak mampu aku ucapkan. Hilangnya di mata tapi kesannya masih berbekas di hati.

Al fatihah.












1 comment:

  1. Alfatihah.. salam takziah. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman..amin

    ReplyDelete