Thursday, February 24, 2011

DAH DEPAN MATA..

Dua hari ni kat ofis keje tak leh consentrate lah. Bukan sebab otak berserabut atau dalam hati berbunga2 tapi sebab kat luaq tu ada 'bunga2'  yang cantik dan 'kumbang' yang ganteng!


Ada shooting drama kat Quantum! Ada Maria Farida, Sherina Redzuan dan Eizlan Yusof. Itulah..bukan tak fokus pada keje tapi bila dah depan mata, jeling2 pandang2 gak lah. Lagi2 bila scene Maria dan Serina bergaduh bagai nak rak terjerit2 berebutkan Eizlan. Suara dia orang tu buatkan kita orang lak yang excited!.

Dah depan mata..nak buat cam ne!..tengok je le..



ni gambar 'curi2' masa dia orang tengah shooting.
Kereta merah kat tepi ni BMW Serina.




berdiri sama tinggi...(perasan!)

walau pun tanpa mekap yang cantik hanya mekap yang
 menggelapkan mukanya Serina tetap friendly dan sporting.


IR : pernah di pentas drama satu ketika dulu.

Wednesday, February 16, 2011

REZEKI JANGAN DITOLAK.

Jauh berjalan luas pandangan. Jauh berjalan penatlah badan, kaki dan poket. Hee..hee..jangan merungut! Biasalah tu. Itulah harga yang perlu dibayar untuk satu kepuasan dalam diri. Rezeki anak-anak..kata seorang teman.


Rasanya bermula dari awal tahun 2010 sampai hari ni aku berjalan terus. Maksud aku berjalan makan anginlah. Kata ustaz Suffian kat kelas tadi..Kita berdoa minta nak kayalah..tapi tak kaya2. Walaupun tak kaya2, kereta masih tak BMW, duit sekadar itu sahaja,  tapi rezeki kita selalu berpanjangan dan selalu ada. Kita masih dapat makan, ke sana sini situ sinun, dapat itu dapat ini. Syukurlah dengan semua yang kita ada walaupun tanpa kita sedari. Kalau Allah nak bagi rezeki tu macam2 bentuk, macam2 benda yang dia bagi.


Awal tahun 2010 aku memulakan perjalanan ke Sabah bersama-sama rakan reunion SMKKKB, kemudian family day juga bersama rakan2 sek men keb ke Santuary Resort Kuantan dan ke Terengganu pada May 2010. Rehat sekejap kemudian aku ke Bandung awal bulan Disember ari tu dan menyambung ke tahun 2011 terus ke Langkawi pada 2hb - 5hb Februari. Kemudian seminggu lepas tu 12hb - 14hb Feb. aku ke Port Dickson. Sebenarnya sebelum ke Langkawi ada trip ke Melaka tapi aku tak ikut serta sebab ada hal. Kalau tidak berderetlah hari2 hujung minggu aku tak ada kat rumah. Makan angin terus. Rezeki kan? 


Pada orang lain itu semua tak heran lah. Aku pun tak heran lah sebab mungkin dah agenda dia orang macam tu. Perkara biasa ke sana sini. Tapi pada aku agenda perjalanan hidup aku agak padat dengan agenda 'terbang' ke sana sini semenjak dua menjak ni. Mungkin anak2 dah besar2. Senang dapat angkut ke mana-mana. Maid pun dah tak de. So tak payah nak fikir nasib orang yang kena tinggal.


Ke Sabah tu aku memang dah lama teringin nak ke sana. Nak menyeberangi Tamparuli dan menatap Kinabalu. Sementelah pula ada kawan di sana yang sangat2 baik hati dan perihatin keluarga Azman Ahmad dan isteri Dayang Azizah so, rezeki jangan ditolak. Sejujurnya aku memang tak pernah sampai ke Kuantan. Terengganu pun 20 tahun lepas. Family day tu sebagai bonus lah. Kali terakhir ke Indonesia pada tahun 2000 ke Surabaya dan Bali. 2010 baru lah dapat sampai ke Bandung. Itu pun ada orang sponsor. Alhamdullillah! Langkawi pun dah lama tak pegi sejak tahun 2004. Banyak yang berubah. Rezeki lagi tahun ni. Melaka tak pegi pun tak pe sebab selalu balik rumah mother-in-law (selalu??..setahun sekali je) Port Dickson..memang tak ada hati nak pegi sebenarnya cuma nak bawa anak2 sebab dia orang tak pegi Langkawi ari tu. Hampir 20 tahun juga aku tak jejak kaki ke PD. Tak de apa2 aku rasa selain pantai. Pergi hari tu..tiba2 aku dah rasa terjatuh cinta lak kat PD bila stay kat Permaisuri Resort yang baru tu. Santai dan relax habis. Lepas ni ada cadangan nak ke Pulau Kapas snorkeling dan memancing. Orait jadik! Sekejap tadi ada pulak yang cadangkan ke Koh Samui..hmmm...kumpul duit dulu..


Cuma satu tempat yang aku masih menunggu jemputan dari Nya selepas aku hadir ke sana pada 2004. Lama dah jarak tu. Insyaallah dengan izinNya dalam masa terdekat ini.





IR : Hanya padaMU aku berserah...

Thursday, February 10, 2011

LAYAN...

Tiba-tiba hari ni hati aku mendung dan berkabus. Malas nak cite lah. Layan je lagu ni...





Hati bagai ditusuk sembilu
Pedihnya merenggut tangkai hati
entah sampai bila...
Berkasih di lautan asmara berapi
Aku yang terbakar sendiri

Di bibir ku lafazkan rela
Di hati terasa pedihnya
Melepaskan mu...


IR : bukan kerana sayang, cuma kadang kala aku terkenang..

Wednesday, February 9, 2011

CATATAN PERJALANAN - KEMBARA SAHABAT 3 - SABAH




1 Mac 2010..dan saat itu pun tiba..
aku ingin menjadi                 
mimpi indah dalam hidupmu
aku ingin menjadi
sesuatu yang selalu  bisa kau rindu

Sunyi pagi ini. Aku melangkah ke dapur. Ramai tak nampak batang hidung lagi. Kelihatan Azizah sibuk menjemur baju di beranda dapur. Aku melangkah keluar menikmati udara pagi. 
Tik!..tik!..tik!..bunyi air menitik di atas bumbung menarik perhatian aku.
"Hujan ke Zah?". Aku bertanya sambil memandang ke langit. Nampak cerah tiada tanda-tanda hari nak hujan.
"Tak kak, itu bunyi embun menitik" balas Azizah.
"Hah! embun menitik!?.." aku benar-benar kaget! Seumur hidup aku tak pernah melihat embun menitik bagai hujan. Aku lantas menadah tangan dari susur atap menunggu embun menitik lagi. Perlakuan aku menarik minat Ida yang tiba-tiba berada di belakang.
"Tadah embun ke?"..tanya Ida. Aku hanya mengangguk tanpa memandangnya.
"Kat daun-daun tu masih banyak air embun kak.." saran Azizah sambil menunjukkan pada pokok-pokok di belakang dapur. Aku dan Ida sama-sama melangkah penuh teruja. Aku menekap kedua-dua belah tangan pada daun-daun lalu meraup seluruh wajah dengan air embun seraya berselawat  Nabi.
"Kalaulah  kat sana ada lagi embun yang banyak macam ni, tambah awet muda lah kita.." aku berseloroh pada Ida. Terkekeh-kekeh dia tertawa.
Pasar Filipine menjadi destinasi terakhir kami hari ini  sebelum meninggalkan KK. Tak sah kalau berkunjung ke KK tanpa singgah di pasar ini. Apa yang ada di Pasar Filipine? Semua orang tahu. Segala macam kraftangan dan barang-barang cenderahati dihimpunkan di sini. Dan sudah tentunya permata Sabah yang satu ini..mutiara!
Berpinar mata memilih rangkaian set-set mutiara yang beranika warna dan saiz. Gelang, rantai, cincin, tasbih malah jam tangan juga dari mutiara dihasilkan. Pada mulanya kami berjalan dalam satu kumpulan, lama-kelamaan berpecah berasingan apabila ada yang terlalu lama memilih barangan dan ditinggalkan teman-teman. Tapi akhirnya tetap berjumpa dihujung jalan kerana pasar ini 'pusing-pusing dok tang tu jugak'. 
"Tengok set muatiara ni..aku tawar dari Rm170 dapat sampai Rm60. Aku tawar sampai naik pening abang tu.!" bersemangat  Saba menunjukkan pada aku. Wah! hebat kau! memang kaki shoppinglah kawan aku sorang ni! Lama berpusing-pusing aku beli beberapa helai  T-shirt Sabah untuk family  dan 2 utas tasbih mutiara.
Aku terlewat tiba di gerai menjual hasil-hasil laut.  Azman membawa kami ke sebuah gerai yang katanya "Ini gerai makcik aku, boleh dapat harga murah." Memang betul pun. Aku lihat masing-masing memegang beberapa kotak yang telah siap diikat yang tentunya penuh dengan ikan, udang, sotong kering, terubuk masin dan tah apa-apa lagi lah.
Lewat di kaki lima menuju ke kereta, Saba menarik tangan aku menghampiri meja si penjual jam. "Cantik tak jam ni?"..lalu menyuakan pada aku. Memang cantik dan nampak feminin. "Ini aku punya..kau nak cari lain.." lalu menarik jam tersebut bila dia melihat aku mula berminat pada jam itu.
"Yang ini pun cantik kak.." mamat Sabah ini menunjukkan pada aku. Boleh tahan jugak.
"Alamak! tak de duit kecik lah!..Azhar kau bayarkan untuk aku ye..kira hadiah lah, bayar 'hutang' kau yang dulu.." aku bersahaja memandang Azhar di sebelah. Terpinga-pinga sekejap Azhar..tapi akhirnya aku lihat dia melunaskan 'hutangnya' yang dulu. 
"Thank you..kau ikhlas kan?' aku menduga.
"Ok..no problem!" jawabnya. Seutas jam tangan, bukan diukur pada nilai harga tapi dilihat dari nilai keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat.
Berarak awan kelabu tika kami tiba di Aiport KK. Tapi mendung di hati siapa yang tahu? Aku bukan hipokrit. Sejujurnya aku benci menghadapi situasi ini. Apa sahaja yang bernama perpisahan pasti menyakitkan. Namun aku berusaha agar kesedihan tidak ketara di wajah walaupun hujan di hati belum berakhir.
Selepas 'check-in' masih ada masa 1 jam sebelum berlepas, Azman mengajak kami membasahi tekak di Pantai Tg Aru yang berhampiran.  Suasana muram, melayani perasaan hiba untuk meninggalkan seorang sahabat ini.  Ais kacang, cendol, roti john yang terhidang di depan mata dijamah perlahan.
"Sahabat-sahabatku dunia akhirat. Aku bersyukur kerana Allah telah mengaturkan  pertemuan ini untuk kita setelah sekian lama terpisah"...  dengan tenang  kata-kata yang aku kira amat perit untuk diluahkan itu dilafazkan.
"Aku dan keluarga memohon maaf andai kami tidak dapat memberikan layanan yang terbaik untuk kamu semua. Moga persahabatan kita ini terus berpanjangan dan kalau  kamu ke sini lagi jangan lupa telfon aku..aku tetap akan menunggu kamu. Aku pasti akan merindukan kamu semua.." getar suara yang tertahan-tahan itu merobek perasaan kami. Aku pandang laut lepas yang terbentang luas.  Ada mata yang basah, ada rindu yang mengetuk pintu hati.
Pelukan perpisahan Azman dan Amran aku lihat bertambah erat jika dibandingkan dengan pelukan semasa tiba di KK 3 hari lalu. Entah apa yang dibisikkan kepada Amran. Entah pesan apa yang dititipkan sebagai ingatan untuk  sebuah perpisahan yang entah bila bertemu lagi. Aku memerhatikan dari jauh. Saba dan Intan bergilir-gilir bersalaman dan memeluk Azizah. Kesedihan mewarnai wajah-wajah yang ceria 3 hari lalu. Azman dan Amran masing-masing tidak dapat menyembunyikan kesedihan.
Airmata bukan lagi lambang seorang lelaki sejati. Airmata jernih yang tumpah ini  sejernih sebuah keikhlasan dan kejujuran atas nama persaudaraan. Melebihi batas-batas sebuah persahabatan. Untuk kesekian kalinya aku melihat Azman dan Amran menangis lagi. Betapa hibanya untuk menghadapi sebuah perpisahan.
Melewati kaunter terakhir Imigeresen aku menoleh ke belakang. Wajah sayu Azman dan Azizah menghantar pandangan perpisahan. Lambaian tangan makin hilang di kejauhan. Di balai berlepas aku melihat pesawat bagai berbalam-balam. Dalam diam airmata jatuh jua di sudut bibirku...


Di Pantai Tg. Aru sebelum berlepas pulang ke KL.

"mengapa semua ini harus berlaku..."

DIBELAKANG TABIR..

* Seorang sahabat yang berjanji untuk bersama trip ke KK tak muncul-muncul pada waktu yang ditetapkan.  Saba bengang betul!. Tiket dah dibeli. Claim balik saba jangan tak claim! Aku rasa sampai balik ke Semenanjung bayang sahabat seorang ini masih tak kelihatan. Dengar cerita ‘orang baru’ tak nak lepaskan..hee..hee..hee
* Ada yang belanja sakan di Pasar Filipine. Habis RM2K.! Belum ke Bandung lagi dong. Mesti habis juta-juta rupiah.

* Sayang anak tangan tangankan, sayang isteri tinggal tinggalkan. Kan dah termenung, sapa nak jawab?

* Demi sahabat-sahabat Azman terpaksa ‘break the rule’ balik rumah jam 2.00 pagi. Esoknya kena bagi ‘caused letter’. Sabar Man..pengorbananmu tetap kami hargai. Mengalah bukan bererti kalah.
* Ada rahsia lama yang baru terbongkar. Hmm..patutlah masa aku jumpa mamat ni kat Regency Hotel tahun lepas asyik tanyakan minah yang sorang ni. Barang lepas jangan dikenang..belilah barang yang baru..hee..hee.hee..


Catatan peribadi di ruang waktu yang pantas berlalu..
Sahabat-sahabatku,
Suatu waktu dahulu, kita hanyalah anak-anak kecil yang tidak mengerti apa itu nilai  sebuah persahabatan. Yang kita tahu hanyalah  bersama-sama mencari ilmu, berlumba-lumba mengejar impian dan cita-cita yang kadangkala merobek perasaan sesama sendiri.  Berlari di hujung padang, menyanyi dan berlakon arahan sendiri di pentas ilmu. Kedegilan, kenakalan dan kealpaan menjadi teman mainan kita. Menginjak dewasa apabila langkah semakin jauh, jalan semakin berliku, persahabatan ini semakin terungkai. Kita hampir terlupa pada sebuah kenangan indah dalam kesibukan dihambat waktu untuk membina sebuah kehidupan. Apabila semua impian hampir digapai, apabila semua cita-cita di dalam gengaman, pintu kenangan itu terbuka sendiri. Melangkah kembali mengutip sisa-sisa memori indah, pahit, manis dan pilu kita lena dibawa oleh emosi dan dijentik oleh nostalgia lalu. Pintu kenangan itu tiba-tiba terbuka, serpihan kenangan  itu tiba-tiba bercantum semula, membunga rindu yang harum, merenda hari-hari yang suram.  Pasti ada kesilapan dan kekesalan yang ingin kita tebus dek kealpaan semalam.  Pertemuan selepas perpisahan yang panjang ini tidak akan diakhiri  lagi oleh perpisahan kerana kita kini telah semakin  matang dan mengerti untuk mengikat nilai persahabatan ini dengan tali persaudaraan.  Menjulangnya sebagai satu sejarah peribadi  yang dikenang  hingga nafas terhenti...



Untuk Azman, Azizah, Zizie, Iqbal dan Raffiq...semoga  Allah memberkati dan merahmati  hati-hati suci kamu.
 

CATATAN PERJALANAN - KEMBARA SAHABAT 2 - SABAH.



 28 Feb.2010 Ahad yang ceria.  
kan ku jadikan kau
kenangan yang terindah dalam hidupku..”

Argh!!..dingin pagi membuatkan aku menarik kembali selimut. Jam di handphone baru pukul 5.00 pagi. Ah! masih ada waktu untuk tidur seminit dua lagi sebelum jam 6.00 pagi. Tiba-tiba aku bingkas bangun.  "Di sini jam 6.00 pagi sudah terang bah.." aku teringat kata-kata Dayang Azizah.
Selesai segala 'urusan pagi' dapur terus menjadi tumpuan. Pagi ini agak relax dan tenang. Seorang demi seorang menghampiri meja makan.
"Nah!..pulut goreng kau.." Azman menyuakan bungkusan di tangan. Aku senyum. Pagi-pagi selepas solat subuh  di surau Azman menjemput family Kak Su dan Siti di hotel. Pasti dia singgah di mana-mana membelikan pulut goreng.

Seperti biasa suasana riuh rendah dengan berbagai-bagai cerita dari hal-hal sekolah atau yang baru berlaku semalam menjadi topik bualan. Pecah lagi ruang dapur dengan deraian tawa dan usik mengusik. Saba lah  orang yang sering kuat mengusik dan menyakat Azman. Ada sahaja bahan cerita untuk mengenakannya. Setiap jawapan dari Azman dapat dipatahkan sampaikan aku lihat Azman bagai kehilangan kata-kata untuk membalas. 
"Man, kau pasti rindu kan kami bila kami dah balik nanti. Aku gerenti kau tergolek-golek rindu kat kami. Nanti tiba-tiba rumah kau ni jadi sepi semula..aku gerenti.." Saba mengusik lagi.
Berubah airmuka Azman. Saat itu aku lihat ada riak-riak sedih di wajahnya namun dia tenang sahaja seperti sudah bersedia untuk menghadapi saat perpisahan itu. Cawan kopi di bawa ke bibir dan menghirupnya perlahan-lahan sambil menarik nafas dalam-dalam.  Tak lama kemudian kopi Tenom, nasi goreng dan kuih muih hanya tinggal sisa saat kami melangkah keluar dari rumah untuk perjalanan yang sangat-sangat menarik untuk hari ini.
Ke mana kita? Hu..la!.. la!..Balik ke Wilayah Persekutuan semula..KL ke?..No!..no!..no!..Pulau Labuan melambai-lambai di sana.
Perjalanan kali ini memang santai dan relax. Jalan tidak lagi berliku. Kampung-kampung kelihatan tenang. Pemandangan laut di hadapan Kem Lok Kawi menarik perhatian aku. Air laut surut pagi ini.

"Man, apa orang-orang tu buat kat dalam lumpur tu?" aku ingin tahu. Beberapa orang kelihatan duduk sambil mengorek pasir berlumpur. "Dia orang cari udang galah" terang Azman.

"Apa? Udang galah!'..masing-masing kehairanan. Saat itu aku rasa seperti meronta-ronta ingin bersama-sama penduduk kampung 'berkubang' mencari udang galah.

"Sudah!..sudah!..kamu tak punya masa untuk itu. Lain kali datang aku buat acara khusus untuk tangkap udang galah..". Segera keinginan ku dipatahkan. "Ok!..tak pe..next time..!" hati berkata-kata.

Kami tiba di jeti Menumbok untuk ke Pulau Labuan hampir jam 9.00 pagi. Terik dan silau mentari seperti sudah waktu tengahari. Bersiap sedialah untuk sunburn pada hari ini. Ketika masing-masing mula melangkah ke arah jeti tiba-tiba handphone Amran berbunyi tanda ada sms masuk. Mukanya yang ceria tiba-tiba berubah sirna. Masing-masing berpandangan, kehairanan.
"Apa hal?..ada apa? " ayat-ayat yang keluar dari mulut kami.
"Aku rasa mungkin kita tak dapat ke Labuan. Ada berita Tsunami di Chille. Ombak besar di Laut China Selatan sekitar jam 2 hingga 5 petang nanti".
Hati masing-masing dilanda kerisauan. Azman melangkah ke hadapan.
               
"Ok..aku rasa tak ada apa-apa. Aku orang sini aku tau. Kalau ada mesti pihak berkuasa dah buat sesuatu untuk itu. Kita dah sampai di sini dan niat kita baik untuk menziarah kawan di sana, Insyaallah aku rasa ok tak de apa-apa..kita tetap terus pergi!." 
Azman memuktamadkan keputusan. Sebulat suara mengikut cadangan 'tok ketua' ini. Ketika kaki melangkah ke dalam speed boat aku rasa masing-masing berdoa dalam hati agar semuanya selamat. Jaket keselamatan diikat erat. Senyap sunyi seketika. Ketika bot mula dilambung ombak China Selatan suara-suara riuh mula kedengaran. Terhuyong hayang dan bagai dihentak-hentak mencetuskan suasana yang cukup lucu. Sekejap sahaja berita Tsunami hilang dari kegusaran. Ketawa kami tenggelam timbul bersama bunyi enjin bot dan hempasan ombak. 20 minit kemudian Jeti Labuan dihampiri. Alhamdullillah!...kata-kata syukur terucap.
                                           Dalam speed boat..ikat kuat-kuat..


Senyuman meleret dari teman lama menyambut kedatangan kami. Masih anggun,  jelita dan bergaya di usia 40an sesuai gelaran yang disandang. Disampingnya anak dara sunti manis seperti ibunya masa muda dahulu. Isteri pegawai tinggi kerajaan ini masih ramah dan tetap mesra.
Aku salute Zah.. kau tak lupa diri dengan kedudukan kau sekarang. Tangan berjabat salam, pipi berlaga pipi dan hati pun mengikat rasa kasih persahabatan kita. Rombangan kami seperti tidak menghiraukan orang keliling apabila masing-masing sibuk bertukar cerita dan khabar dengan Azizah. Kemudian kami dibawa mengelilingi bandar Labuan oleh 2 orang pengiring yang ditugaskan. Terasa seperti layanan VIP apabila mengetahui jurupandu kami adalah orang kanan pasukan beruniform di bandar Labuan ini.
Destinasi pertama, berkunjung ke Pasar Kraftangan Labuan. Mata silau oleh kilauan kristal swarovski dari gred berbeza-beza.
"Ambil kak..brooch tu cuma  rm10 sahaja.." ramah gadis Labuan ini memikat.
"Sepuloh henggit!..kat sana ini 50 henggit!..aku separuh berbisik di telinga Saba. "Biar betul!..betul ke tipu kristal ni.!" tak menjadi hal pada aku. Yang di jual di Semenanjung  pun belum tentu aslinya. Yang penting cantik dan tahan lama. Masing-masing borong brooch, gelang dan rantai kristal berkilo-kilo bawa balik.

"Boleh tukar-tukar satu hari satu..ikut warna baju.." Ida menyarankan. Hee!..hee!..hee!..memang sah perempuan normal ni!
Kampung Air Labuan hanya kami lewati kerana kesuntukan masa. Menyusuri sepanjang pantai Labuan mata dijamu dengan pemandangan yang indah. Cantik dan bersih dengan pantai memutih. Lambaian pokok kelapa dan kebiruan Laut China Selatan mendamaikan.
Kami tiba di Taman Bukit Kuda hampir jam 12.00 tengahari. Deretan banglo-banglo  pegawai kerajaan tersusun rapi.
Bau yang harum dari dapur Azizah membuatkan perut kami rancak berkeroncong. Udang galah masak lemak cili api, sayur campur dan ayam goreng berempah adalah menu istimewa hari ini. Masih ada yang malu-malu. "Malu lapar lah hoi!...suara nakal mengusik.
Bersila dihamparan lembut menambahkan lagi selera kami. Amran siap pakai kain pelekat lagi lagak seperti tuan rumah.
"pssttt!...sebenarnya biar senang nasi masuk..perut tak tersekat!"..suara nakal itu terus mengusik.
Kami menahan tawa menghormati hidangan di depan mata. Hidangan beransur susut. Masing-masing kekenyangan sebab rasa puas makan masakan Semenanjung setelah 2 hari berada di bumi di bawah bayu ini. Gelak tawa bersulam usikkan dan gurauan bertebaran di ruang tamu banglo 2 tingkat Azizah.  Buah tangan dari Labuan untuk teman-teman yang sudi menziarahinya di perantauan disambut dengan tangan terbuka.
"Kenangan dari Labuan. Terima kasih sebab sudi datang ke sini. Aku rasa gembira dan terharu sangat sebab kita semua dipertemukan lagi. Moga semuanya selamat sampai ke KK dan KL.." doa Azizah untuk kami.
"Thanks Zah.." aku peluk erat teman ini. "moga silaturrahim antara kita berpanjangan."
"Jumpa di Kuantan ya.." aku menabur harapan. Moga Allah merahmati pertemuan kami ini. 
Akan adakah lagi pertemuan selepas ini..? Mungkin ada..tapi dengan orang lain..jeng!..jeng!...jeng!..

                               Di rumah Azizah, kenangan sepanjang hayat.

                               Maintain jelita bah..

Jeti Labuan menjadi penanda kepada akhirnya pertemuan dengan Azizah dan kelurganya. Tapi sebaliknya apabila menjadi satu lagi pertemuan untuk seorang yang memang tidak pernah disangka-sangka. Pertemuan demi pertemuan.Aku rasa seperti diatur-atur oleh Allah. Seperti telah dirancang semuanya. Jumpa siapa di sini?
Ingat Zorro?.. senior kita yang memang senior. Aku tak ingat jarak usia berapa tahun dengannya tapi aku memang ingat sebab uniknya nama 'Zorro' itu walau pun sekarang nama muslimnya Md Hardy b Abdullah orangnya tetap sama seperti dahulu.
Azman aku lihat orang yang paling gembira saat ini . Zorro..seorang pensyarah di UITM Sabah. Jarak waktu yang lama menyebabkan dia mengambil masa untuk mengingati kami junior-juniornya. Setelah bersalaman kami pamitan untuk pulang ke KK.

                                 Azman dan Zorro.   

Bot laju sudah siap sedia menanti. Setibanya di perut bot jaket keselamatan yang dicari. Aku kadang-kala sedikit fobia bila melihat air laut. Tak dapat menduga pasang surut air dan apa yang ada di dasarnya. Bila bot mula meluncur keresahan beransur hilang kerana masing-masing telah dapat menyesuaikan diri dengan lambungan ombak. Tapi petang ini ombak agak besar dan kuat. Mungkin air pasang. Aku meneka dalam hati. Bunyi bising enjin bot tenggelam timbul dengan suara-suara kami yang ceria dan ketawa bila bot dihempas ombak.
Tapi nun di hujung sana ada seorang yang berdiam diri. Menutup wajahnya dengan sehelai kain sambil menundukkan muka. Aku beri isyarat pada Saba yang duduk di hadapanku sambil memandang kepada Azman. Saba mengangkat bahu..membuat isyarat airmata dengan jejarinya dan tersenyum.
Tiba di jeti Menumbok hampir jam 3.00 petang. Kami merehatkan diri seketika di bangku panjang. Cuaca panas terik di luar memaksa aku terus melekat dengan kacamata hitam. Penumpang-penumpang dari bot sebelah mula meninggalkan jeti. Tiba-tiba Azman berdiri di hadapan kami.
"Aku nak cakap sikit..kamu orang nak marah, marahlah. Tadi aku bukan menangis tapi aku berzikir. Kita kena ingat kita berada di laut. Ombak kuat boleh menghempas bot dan boleh pecah. Aku lihat kamu orang selalu tertawa tak kira di hutan, di darat dan di laut. Kita kena hormat tempat di mana kita berada lagi-lagi kamu tak biasa di sini. Aku bukan marah kamu, tapi aku sayang kamu.." ada nada teguran, sinis dan merajuk di hujung kata.
Saba tersenyum hambar. Intan menundukkan muka. Amran, Azhar, Kak Su, Siti  dan lain-lain membisu seribu bahasa. Aku..?
"Betul kata-kata kau Man..kami kadang-kadang seperti kelkatu yang terbang ghairah mengelilingi cahaya lampu tanpa menghiraukan lampu itu yang akan membakar diri sendiri”..  kata-kata itu tersekat di rengkung. Tak terluah, tak terucap.
Kami tiba di Putatan hampir jam 5.00 petang. Dayang Azizah menyambut kami dengan jus oren bersari manis sekali. Masing-masing membasahkan tekak menghilangkan haus. Aku lihat ikan tuna, udang, sotong dan ketam telah siap diperap. Hanya menunggu untuk 'dikorbankan' buat BBQ malam nanti.  Belum maghrib lagi. Masih ada waktu untuk istirehat. Aku terus merebahkan diri melepaskan lelah dan mengumpul sisa-sisa tenaga yang masih tinggal. Lelap seketika.
Azhar dan Zizie sibuk membakar ikan dan udang tatkala aku melangkah ke beranda dapur. Sekali sekala tangan mereka  ligat mengipas bara api yang hampir padam. Semua dah berkumpul dan mula menjamah BBQ malam terakhir di sini. Wajah-wajah yang hampir lesu tapi masih ceria  masih mampu tertawa dan bergembira. Semuanya santai dan relax sekali.
Di hujung sana anak-anak Siti leka meratah udang. Amran dan Ida bagai merpati dua sejoli sibuk mengupas nenas yang dibeli di Nabalu kelmarin.
"Sudahlah tu Azhar!..mari makan..dari tadi kau tak makan apa pun... tak payah bakar lagi dah banyak ni!.." jerit Saba.
Azhar tersenyum. "Sayang jugak kau kat aku ya..!" .
Terjerat Saba dengan ucapan spontan itu. "Dah!..dah!..dah!..jangan nak  merepek! Kang ada yang tergolek kat sini kang..!"  sambil tangannya mencapai sepotong kulit tembikai lalu melemparkan kepada Azhar.
"Hoi! garangnya singa ni!.” jawab Azhar sambil cuba mengelak dari lontaran itu. Riuh rendah jadinya dengan hilai tawa teman-teman.
"Fieza!!..pedasnya air asam ni!!....air!..air!.." aku separuh menjerit. Azman di sebelah cepat-cepat menghulurkan air pada aku yang kepedasan.
"Terimakasih Man kerana menyelamatkan aku…budimu ku kenang sampai mati.." aku berseloroh. Teman-teman tertawa lagi. 


Besarnya 'kipas'..
Di luar bulan mengambang penuh. Cantik. Tapi di dalam rumah ini 'bulan berbicara'. Alunan lagu 'Biar Bulan Bicara' bergema.  Suara 'Broery Marantika' ex-SMK ini benar-benar  menyusuk kalbu.
"3*  aku bagi kau Amran! Cuma pitching kena betulkan sikit lagi.."
Siti Hawa mengomel bagai juri AF. Intan yang tiba-tiba datang entah dari mana dengan sejambak bunga plastik di tangan menghulurkan kepada Amran.
Pheewitt!!..bravo!!.. Pecah rekodlah malam ni rumah Pak Imam bergegar dengan irama karaoke!..hee!..hee!..hee!..
Azman tidak mahu melepaskan saat-saat indah ini merakam setiap aksi dari teman-teman yang cuma ada tidak sampai 24 jam lagi di bumi Kinabalu ini. Pastinya rakaman video ini menjadi pengubat rindu apabila kami telah pulang nanti.
"Kau mesti tergolek-golek rindu kat kami bila kami dah balik nanti.." kata-kata Saba itu masih terngiang-ngiang di telinga.

Biar Bulan Bicara..
Mata serasa amat berat sekali tapi demi teman-teman aku gagahkan juga melangkah ke kereta.
"Ada ke roti canai dan teh tarik malam-malam ni..?" aku memancing rasa kesian teman-teman agar tidak terlalu bersusah payah meredah malam mencari restoran yang menyajikan makanan itu. Salah aku juga sebab menyetujui ajakan mereka untuk pekena teh tarik dan roti canai walau pun aku sendiri tiba-tiba teringin nak menikmati teh tarik.
"Ikut je lah..tak de roti canai kita pekena bakso ke..mee bandung ke.." saba bercanda dalam sinis.
Kami berlima memilih meja yang paling hujung. Azman, Amran dan Azhar masing-masing dengan teh tarik dan mee goreng sedangkan aku dan Saba hanya memesan minuman sahaja. Tiba-tiba aku teringatkan  Intan. Mesti dah tidur ni. Tadi mengadu sakit perut dengan aku. Salah makan agaknya.
Malam yang semakin dingin tiba-tiba bertukar hangat apabila  isu-isu semasa yang 'panas'  dibincangkan. Masing-masing mengeluarkan pendapat dan pandangan yang aku memang tak sangka sama sekali.  Mata yang tadi terasa mengantuk terbang entah ke mana.. dan sekarang aku sendiri memerah otak, menajamkan minda dalam memberi jawapan kepada persoalan yang dibincangkan. Kami sama-sama mencari jalan penyelesaian akan isu ini.  Tanpa jawapan dan konklusi  yang konkrit, aku rasa perbincangan ini akan berlanjutan hingga ke Kuantan. Ada percaya?..Hmm..topik apakah yang sangat-sangat 'panas' itu? Biarlah rahsia...kami berlima.
Kami pulang bila jarum jam hampir menunjukkan pukul 2 pagi. Tak ku sangka..bahang panas tadi masih 'membara' hingga sampai di rumah.
'Panas!..panas!'.. tapi aku dan Saba cool aje.. Masuk bilik Intan terjaga.
"Eh!..kau orang baru balik ke?..kau orang pegi mana..? korang tau tak tadi..bla..bla..bla..  'panasss!!!' ..
Dan ayam pun mula berkokok.

Monday, February 7, 2011

CATATAN PERJALANAN - KEMBARA SAHABAT - SABAH FEB 2010.

Setahun sudah berlalu,
Februari muncul kembali
dengan kehangatan semalam..

Salam semua. Aku tulis catatan perjalanan ini lama dahulu. Sesuatu yang indah untuk dikenang. Rombongan 'cik kiah' yang pertama dari Semenanjung bertemu seorang sahabat ini Azman Ahmad  yang banyak mengukir momen-momen indah di alam persekolahan.

Ada yang sudah membaca kisah ini tapi aku tetap nak abadikan dalam blog ini dan dikongsi bersama dengan sahabat2 semua. Kisah benar catatan perjalanan Amran Mad, Azhar, Mazita (Kak Su), Sabariah, Rozaidah (Intan), Siti Hawadiah (Siti), Ida, Fieza, anak2 Siti, Aiman dan aku. Sedikit tokok tambah untuk menghidupkan jalan cerita. Happy reading. 




KEMBARA SAHABAT.
"Hidup ini tak susah, hidup ini mudah, hidup ini indah..."

26 Feb. 2010  Jumaat (12 Rabiul Awal 1430H)
Pagi Jumaat yang dingin. Hujan membasahi bumi Shah Alam menyambut perarakan Maulidur Rasul yg lewat di halaman rumah. Teringat semalam aku hampir-hampir terlepas perjalanan ke KK gara2 lewat memohon cuti.  Dihambat tugasan yang memenuhi meja kerja, dateline yang seakan tidak mahu beralah dan tanggungjawab di rumah membuatkan aku hampir terlupa perkara yang satu ini. Debaran semakin terasa penuh keterujaan untuk menempuhi satu perjalanan  yang pasti mengembirakan. Ketika mentari tegak di ubun-ubun kelibat Amran dan isterinya Ida tiba di rumah.
"Wah!! besarnya beg kau!..tak mau balik ke Semenanjung lagi..?"  aku memperli Amran sambil menjeling Ida di sebelah. Amran hanya mampu tersenyum. Ida malu-malu. Pertama kali bertentang mata dengan isteri Amran yang manis orangnya.
Selesai meratah ketam masak lemak cili padi untuk lunch hari itu masing-masing bersiap-siap untuk ke LCCT. Sejujurnya aku tak ada selera. Sekadar untuk mengalas perut di perjalanan nanti. Hati dah terbang dahulu sampai ke KK.
"Hello ita, kau kat mana?"..suara Saba di hujung talian penuh rasa gusar. "on the way, sat lagi aku sampai. Bentang carpet merah ye.." aku bercanda memberi jawapan.
Lihat di sana siapa yang menunggu kita? "Ita, tingginya kau!"..biar betul mamat ni..tanpa salam dihulur sebaliknya pertanyaan disua pada aku.  "eh! aku memang tinggi lah..sekarang kau baru perasan ke?..ialah.. dulu tak nampak aku kan.." aku mula mengusik dengan nada suara merajuk. "Kau dah banyak berubah tapi aku masih boleh kenal. Aku ingat lagi kau selalu pakai tshirt  'dont follow me'.." aku mengimbau nostalgia lalu. Azhar tergelak kecil. "kau ingat lagi ye.." katanya mengiyakan.

 Azhar Ahmad..rakan sekolah dari form 1 hingga form 5. Dulu kurus tinggi, pendiam. Hari ini kau terlalu jauh berubah. Kalau jumpa di luar sekali imbas memang aku tak kan kenal kau. Tambahan lagi dengan ‘heli pad’ di kepala. Trend kawan-kawan lelaki yang berumur 40an sekarang ini termasuk Amran yang aku perhatikan leka berbual dengan Intan di sebelah sana. Selepas itu masing-masing bertukar cerita sambil tangan sibuk mengangkat bagasi. Amran, Saba, Ida dan Intan masing-masing punya cerita untuk dikhabarkan sehinggalah..

"Panggilan terakhir untuk penumpang ke KK flight..bla..bla..bla.."  Apa? dah last call?.. punyalah borak sakan! Flight berlepas awal setengah jam.

Amran berbisik pada aku.."2 jam yang membosankan.." Really?..tak sampai setengah jam aku tengok dia enjoy dengan tuna sandwich yang tebal dan white coffee di belakang aku. Lepas tu jadi 'burung hantu'. Tapi tidak untuk aku, Saba dan Intan. Bila intai di luar tingkap hanya nampak  awan putih saja perbualan makin rancak. Azhar di sebelah hanya menjeling dan sekali sekala menyampuk cerita kami. Tapi akhirnya dia ikut jejak Amran jadi 'burung hantu'.

Alhamdulillah!..akhirnya kami selamat menjejakkan kaki di bumi KK lewat jam 6.30 petang. Bayang orang yang menyambut kami tidak kelihatan. "Aku solat dulu bah..di sini maghribnya awal" suara di hujung talian menoktahkan rasa gusar kami. Ok… pandang kiri, pandang kanan masing-masing sibuk dengan handphone menghubungi orang di Semenanjung tentunya.
"Assalammualaikum!.." suara di belakang dengan senyum meleret menyambut kami dengan mesra. Azman dan Amran saling bersalaman dan  berpelukan tanda hubungan kembali terjalin. "Ini siapa?" tanya Azman sambil memandang Azhar. "Inilah orang yang kau cari-cari, yang kau tunggu-tunggu tu"..Saba memperkenalkan. "Ini Azhar kan?"..teka Azman. Kami hanya tersenyum. "Sebentar ya..aku ada perkara nak cakap dengan Azhar.." katanya seraya menarik tangan Azhar ke satu sudut. "Ini ada yang menangis ni.." jawab Saba sambil kami memerhati dari jauh.

5 minit kemudian Azhar kembali tanpa Azman di sisi. "Mana Man?"..tanya Amran. "Dia kata dia nak kesat airmata.." jawab Azhar selamba. Kahh!!..kahh!!..kahh!!..ketawa kami pecah berderai menggegar airport KK. Episod airmata dah bermula..
Azman dan Azhar berpelukan dipertemuan pertama selepas 28 tahun berlalu.

"bintang terlihat terang
saat dirimu datang
cinta yang dulu hilang
kini kembali pulang..."
"Wah! besarnya rumah kau Man..melaut!" komen aku.
"sedap nasi ni..macam beras wangi kat Semenanjung, macam ni tak payah makan dengan lauk, nasi je dah kenyang, kau tanam padi sendiri ye..?" gurau Saba.
"Skalop?"..aku ingat langsir je ada scallop, rupa-rupanya kat Sabah ni scallop boleh makan!" terkejut beruk Ida.
Kau sabar je Man..dua tiga hari ni.. I tell you..hidup kau 'huru-hara'!
Sambil bersantai minum kopi Tenom, kami berbual, bercerita, ketawa bersambung-sambung mencetuskan suasana yang cukup mesra. Berbicara tentang apa lagi selain kenangan terindah 28 tahun yang lalu. Aku cukup notice yang satu ini. Ada cerita yang pernah aku dengar, yang dibicarakan berulang-ulang kali, ada kenangan yang tersingkap, ada rahsia yang baru terungkai. Semua itu terlalu indah untuk dikenang,  terlalu payah untuk dilupakan, teramat manis untuk dibicarakan.  Photo-photo lama yang entah dari mana munculnya tiba-tiba bertukar tangan. Setiap satu mempunyai ceritera yang tersendiri.
"Eh!..dari mana kau dapat gambar aku ni  Merek!"..aku hampir terjerit kecil. "Aku rasa ini gambar aku yang hilang dari album dulu.." aku berseloroh.

"Sorry!...kau yang bagi kat aku tanda persahabatan kita. Tak percaya kau tengok sendiri apa kau tulis kat belakang tu.." Amran mempertahankan diri.

"hmm..nasib baik aku tak tulis yang bukan-bukan, hanya tanda kenangan  sebagai seorang sahabat"..bisik hati kecilku.  Aku senyum sendiri. Aku akui sahabat yang seorang ini bukan setakat menyimpan gambar aku malah hampir keseluruhan gambar-gambar pelajar 5A1 ada dalam simpanannya.

Saat jarum jam menunjukkan waktu 11.30 malam, Kak Su, Fieza dan anak bujangnya Aiman tiba.  Dibelakangnya  diikuti Siti Hawa dan 2 orang anaknya. Flight yang tertunda membuatkan mereka terus menghadap hidangan di depan mata.

Aku rasa seperti kenduri kecil malam itu. Tuan rumah Azman dan isterinya Azizah dan anak-anak Zizie, Raffiq dan Iqbal sibuk melayan tetamu dan aku nampak ada riak-riak gembira di wajah, ada bunga-bunga bahagia di hati mereka menyambut kami sahabat-sahabat yang dirindui.

Azman entah berapa kali menuturkan ini.."Siapa sangka setelah 28 tahun kita dapat berjumpa semula. Kalau dulu di asrama kita lain-lain bumbung, tapi sekarang kita di bawah satu bumbung cuma lain-lain bilik sahaja. Kuasa Allah menemukan kita. Aku tak sangka betul, tak percaya, tapi kalau kita ikhlas Allah pasti temukan kita..".  Ada rasa sebak di hati aku sebenarnya. Ada airmata yang bergenang.  Aku berusaha mengawal wajah agar tidak ketara di mata teman-teman. Aku akur ketentuan Ilahi.

27 Feb, 2010 Sabtu - Penuh keterujaan.

malu-malu si Kinabalu
membuat hati dipalu rindu..
Aku terjaga awal dari biasa. Jam diri  masih belum dapat menyesuaikan dengan tempat orang. Jam 6.00 pagi dah terang. Udara yang segar dan nyaman mendamaikan. Saba sibuk di dapur menyediakan sarapan pagi. Menu istimewa air tangan orang Kuantan, mee goreng 'rambu-ramba'..hee..hee..sebab macam-macam bahan di dalamnya. Seorang demi seorang turun memenuhi dapur comel Azman.
Masing-masing teruja untuk memulakan agenda hari pertama ini. Azman pulang dari surau dengan seberkas bungkusan kuih muih di tangan. Aku sibuk membasuh pinggan. Hidangan terhidang memenuhi meja makan.
"Kat sini pun ada ubi getuk goreng, pagi-pagi lak tu dah jual.." Aku kehairanan sambil memandang 'sebelah mata' pada  ubi getuk  yang aku maksudkan.
"Kau tengok betul-betul Ita..mana ada ubi..kau rasalah dulu..'' Azman menyarankan. Perlahan-lahan aku ambil seketul 'ubi getuk' dan mencubitnya.
"Eh!..pulut inti lah!..ada serunding kat dalamnya"..lalu menyuapkan ke mulut. "hhmm..sedapnyaaa!..macam pulut panggang  di Semenanjung tapi di sini pulutnya digoreng." Sambil tangan ku mencapai sebiji lagi pulut inti. Benarlah kata orang..tak kenal maka tak cinta..sebab jatuh cinta kat pulut gorenglah aku habiskan 3 ketul!
 "Man.. esok beli lagi ye.." Azman tersenyum. Esok tak jual, kakak tu cuti..tapi untuk kau..aku akan dapatkan di mana sahaja." Azman berseloroh. Aku ketawa sambil menjeling Azizah."Tak pe..isteri aku sporting bah.." jawab Azman seakan mengerti situasi aku. Dapat aku rasakan ada kejujuran dalam gurauannya. "Kau jangan jealous Zah, kami dah seperti adik beradik". Intan menambah. Azizah sama-sama tertawa.
Pulut Inti Goreng
        


bersarapan bersama setelah 28 tahun berlalu. Dulu lain-lain meja makan, sekarang duduk semeja sebelah meyebelah lagi..

Konvoi bermula dengan deretan 4 buah kereta menjelajah bumi KK.
"Kinabalu!..tunggu aku datang kepadamu!" ..seakan berteriak semua yang ada. Keterujaan menatap Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia membuatkan perjalanan terasa amat perlahan. Aku menaiki Avanza  meroon bersama Azman, Azizah, Saba, Intan dan Ida. Harum pandan semerbak memenuhi kereta Azman.
"Man, aku rasa macam harum bunga rampailah. Wangi sungguh pandan Sabah ni.." ujarku yang memang menyukai harum si bunga rampai. "Kalau kau suka nanti jangan lupa bawa balik ke Shah Alam." jawab Azman. Perli aku ke ni? "Ok..yang satu ini aku tak akan lupa" seraya mencatatnya dimindaku.
Bandar KK jauh sudah tertinggal di belakang. Jalan semakin berliku dan bengkang-bengkok  Mata dijamu dengan pemandangan berbukit-bukit, kehijauan hutan yang masih terpelihara membuatkan aku tidak mahu melepaskan pandangan walau sepicing pun waktu dari terlelap. Intan di sebelah dah lama 'belayar'.  Saba sibuk bercerita apa saja agar Azman tidak merasa kebosanan menempuh perjalanan yang masih panjang. Sesekali aku tewas juga dengan 'godaan' mata ini. Terlelap seketika. Terjaga. Terlelap lagi..ahh!! tak boleh jadi ni! Aku lantas menyambar kerepek pisang manis yang dibawa sebagai bekalan. Intan terjaga. Aku lantas menyuakan kerepek pisang.
"Woi! kamu di belakang tu..makan tidur makan tidur je lah.." jerit Azman memperhatikan perlakuan kami melalui cermin pandang belakang. hah!..hah!..hah!..ketawa aku dan Intan berpadu. 

"Man, kau jangan jeleous bah..ini masanya untuk aku istirehat terus". Intan menjawab dalam loghat Sabah yang pekat. Baru aku teringat, Intan pernah menetap di Sabah selama 4 tahun. No wonder lah pelat Sabahnya mengena!
Sepanjang perjalanan gereja-gereja kecil Kristian boleh dilihat di mana-mana sahaja. Susah untuk melihat walau pun sebuah masjid. Penduduk-penduduk di pedalaman ini membina  rumah di merata-rata. Di bukit, di lurah, di lembah akan kelihatan rumah-rumah didirikan. Menjadi masalah pula pada aku memikirkan bagaimana untuk sampai ke rumah-rumah di atas bukit itu tanpa melihat sebatang jalan pun yang menghubunginya. Ahh!..forget it! ..Dan akhirnya...signboard menunjukkan arah Jambatan Tamparuli tertera di hadapan.

                                                            Jambatan Tamparuli
"Pak pak kang ku doh
Sumunsui dot jambatan
Jambatan dot Tamparuli
Pakasut tinggi oku.."
Bait-bait lagu Jambatan Tamparuli nyanyian asal Justin Lusah  bergema diminda. Atlast!!...Jambatan Tamparuli terbentang di hadapan mataku. Salah satu destinasi yang telah lama aku idamkan untuk sampai ke  sini. Penuh rasa teruja untuk menyeberanginya. Ini adalah jambatan baru  yang lebih kukuh dan selamat yang didirikan.

Masing-masing dengan 'gaya bebas' beraksi untuk sampai ke seberang. Aku lihat Intan berjalan beriringan dengan Kak Su dan Fieza. Begitu ceria sekali. Ketawa sambil menyanyikan lagu Jambatan Tamparuli yang tenggelam timbul senikatanya. Aku perasan sesuatu tentang Intan ini. Tangannya tak lepas dari memegang penghadang besi sambil berjalan perlahan-lahan.

Aku dan Saba yang berada di belakang berpandangan. Masing-masing memberi isyarat dan serentak dengan itu kami menggoyang-goyangkan jambatan ketika betul-betul berada ditengah-tengah laluan. Apa lagi..pecah tembelanglah! Intan memang betu-betul penakut. Intan menjerit terhuyong hayang sambil memaut tangan Kak Su.."Ita! kau jahat!”.. jeritnya.

Pecah ketawa kami berkepul-kepul memenuhi ruang angkasa. Dah lama aku tak merasai gurauan seperti ini. Terasa kembali semula ke zaman anak-anak sekolah dulu yang nakal. Berpaling ke belakang..hmm.. ada mangsa seorang lagi ni..aku memerhatikan Siti berpaut di bahu anak terunanya. Nampak sangat gayatnya si Siti ni..tapi aku tak sampai hati lak nak mengenakan mak budak yang sorang ni. Tak pe lah..selamat kau kali ni.
Betul tak cakap aku..cuba tengok tangan Intan tak lepas dari memegang besi penghadang. Pandai cikgu ni cover line.. Aku dan Saba nun di belakang.

Hampir 2 jam perjalanan kami tiba di Nabalu. Pekan kecil yang terkenal dengan nenasnya. Dari sini  Gunung Kinabalu nampak semakin hampir. Cuma kali ini nasib tidak begitu menyebelahi kami. Awan putih menutupi hampir keseluruhan Kinabalu. Kinabalu..apakah tidak kau terima salam yang ku kirim lewat angin lalu untuk menatap wajahmu? Telah kau sembunyikan  wajah malumu  dibalik tabir putih itu. Aku rasa sedikit kecewa. "Tak pe..nanti sampai di Kundasang mungkin boleh nampak bila awan dah tiada.." Azman seakan memujuk.

Dan rasanya hati kami cepat terpujuk bila melihat deretan kedai cenderamata melambai-lambai mesra. Sempat aku menyambar sehelai dua batik Borneo yang halus dan sehelai pashmina yang lembut warnanya. Teman-teman yang lain..rasanya tak cukup tangan menjinjing beg yang penuh berisi.

Sebut saje shopping, senyum sampai ke telinga. Yang duduk tu sakit pinggang meround Nabalu Craft Centre.


Di Nabalu..di belakang Gunung Kinabalu masih ditutup awan tebal.
Ketika Avanza SAA 9472 J 'semput' mendaki  kaki Kinabalu, hati seakan tak percaya akhirnya aku tiba jua di destinasi ini. Matahari terik memancar memaksa aku dan Saba cepat-cepat mencari tempat berteduh. Aku tidak mahu terik mentari mengganggu kesihatan aku di masa ini. Cukuplah 2 minggu lalu aku mengalami sakit tekak yang perit dan selsema yang pedih.
Kereta yang dinaiki Amran, Azhar dan Zizie mengalami sedikit kerosakan kecil. Kami berehat seketika di Mesilau sambil melayan pemandangan indah di kaki Kinabalu. Deretan bunga berwarna-warni menarik perhatianku. Warna merah bunga diselang seli daun hijau cukup mempesona.

Pokok tanpa kulit?  Pernah dengar atau pernah lihat? Satu lagi tarikan di sini.  Pokok-pokok yang berwarna coklat keputihan nampak licin (gondol) tanpa kulit.  Nampak seperti ditarah. Kami meneruskan pendakian..(hee..hee..tapi naik keretalah..) hingga sampai ke Gerbang Timpohon. Permulaan untuk mendaki pada ketinggian 5000 kaki ( Ia ke?) oleh semua pendaki-pendaki di seluruh dunia bermula di sini. 



Digerbang Timpohon tempat permulaan untuk mendaki Gunung Kinabalu.

Sampai di pelantar yang disediakan masing-masing tak sabar untuk meninjau Kinabalu. Masih disorokkan oleh awan tebal. Memang tiada rezeki kami untuk bergambar berlatar belakangkannya. Yang ada cuma kabus tebal tapi tak kurang cantiknya bila dipotretkan. Tupai liar tapi jinak  bermain-main di pelantar. Angin sejuk menampar mesra ke pipi. Kamera menjadi teman paling akrab saat ini merakam setiap inci sudut Kinabalu untuk diabadikan.  Hampir setengah jam berlalu perut masing-masing sudah mula 'menyanyi'. Kami tinggalkan Kinabalu dengan harapan agar dipertemukan lagi.

                                                         Pelantar di Gerbang Timpohon.
                                      
Menuruni jalan ke Kundasang kami singgah di Restoran Intan menikmati makan tengahari. Bukan Intan Rozaidah ye..kebetulan.  Kalau dah lapar semuanya sedap. Semuanya makan 'betul-betul' punya makan. Setengah hari yang melelahkan. Baru setengah hari ni..belum  3hari lagi. Tapi aku puji semangat kawan-kawan dan semangat aku sendiri.  Semangat dan hubungan persahabatan ini lah yang  memberi kekuatan dalaman pada kami. Kekuatan fizikal dan ketahanan mental kami diuji untuk meneruskan kembara sahabat di bumi Sabah ini.

Selesai makan kami singgah di gerai buah-buahan dan sayur-sayuran yang sememangnya terkenal di Kundasang. Apa lagi yang dicari  selain buah-buahan dan sayuran. Dan kuih cincin dari Kg. Malugus. Aku beli untuk kudapan di perjalanan nanti. Yang lain hampir sama seperti di Semenanjung.
Perjalanan ke Ranau sejauh 20 km lagi diredah bersama. Seperti biasalah kan..bila perut dah kenyang mata pun beratlah. Aku dan Intan bergilir-gilir menjadi 'burung hantu'. Bila diingatkan balik lucu juga rasanya. Saba dan Ida masih bertahan.  Azman lagi kesian..tak sempat mimpi. Bayang mimpi pun tak sempat menjelma. Aku menghulurkan sisa-sisa kerepek pisang manis pada Intan. Ranau masih jauh lagi. Sambil makan sambil bercerita.

Tiba-tiba..tum!!.. bunyi benda berdentum jatuh di belakang bonet Avanza.

 “Intan!”.. aku membeliakkan mata memandang Intan. “Kau!…” kata-kata aku mati di situ. “Tak pe..nanti Azman boleh kemaskan..” jawab Intan dengan muka selamba tersenyum menyeringai selepas mencampakkan botol kosong kerepek pisang manis yang dah habis.

“Buat baik dalam jahat, jangan buat jahat dalam baik”..Intan berfalsafah. Seperti pernah ku dengar ya..28 tahun yang lalu. Azhar sering menuliskan ini di atas papan hitam bila dia sering kena denda. Bertuah betul budak ni!.. Maaf ye Man..kalau kau jumpa macam-macam ‘benda’ kat bonet tu. Itu semua keje Intan!…hee..hee..hee..
Ranau..aku suka sangat nama tu. Masa belajar Ilmu Alam form 1 dengan cikgu Norizah baru aku mengenali nama Ranau. Pekan kecil yang tenang dan damai berlatar belakangkan Gunung Kinabalu. Tiba di Ranau sudah masuk waktu Asar. Sesungguhnya kuasa Allah itu Maha Besar. Keikhlasan dan kejujuran dalam hubungan persahabatan ini dibayar tunai. Di hadapan Masjid Ranau ini sebuah lagi pertemuan tercipta. Siapa kembara sahabat ini temui?
Ingat lagi athelit sekolah kita, senior setahun dari kita..Jamaen..atau lebih popular dipanggil Jepun..sebab dia suka pakai topi Jepun! Anak Ranau ini sudah bergelar seorang guru. Kami di jemput ke terataknya yang berhampiran.  Melewati jalan kampung yang sempit, hutan-hutan kecil di kiri kanan jalan, kerbau yang masih berkubang di lumpur dan jauh di pedalaman berlatarkan Kinabalu aku merasakan benar-benar seperti pulang ke kampung  sendiri. Sungguh damai, tenang dan mententeramkan.
Teratak Jamaaen..huh! bukan teratak bah!..tapi sebuah banglo comel yang dikeliling beberapa petak sawah padi. Pohon-pohon buah-buahan memagari sekeliling kawasan. Dan yang lebih membuatkan aku cemburu..Gunung Kinabalu dapat dilihat dari sini dengan lebih jelas dari sisi yang berbeza. Fulamak! memang betul-betul membuat aku jealous!.

Puncak Kinabalu dari pandangan sisi yang lain dari belakang rumah Jamaen (Jepun). Masa ni dah pukul 5.00 petang.

Poring Hot Spring menyambut ketibaan kami tika jam menunjukkan hampir 6.00 petang.  Cantik sungguh tempat ini. Dijaga rapi dan penuh semulajadi. Sungai yang berbatu putih terhampar di bawah jambatan gantung. Jambatan gantung kali ini benar-benar 'berbuai-buai' bila kami melangkah beramai-ramai. Hiruk pikuk, riuh rendah suara usik mengusik dan jeritan menggamatkan suasana. 

                                                  Hamparan batu putih di Poring Hot spring.

Kaki-kaki yang tadinya terasa lenguh dan 'ketat' benar-benar lega saat menyentuh air hangat di dalam kolam. Masing-masing duduk dan menjulurkan kaki . Muka yang  'berkilat' disimbah peluh kini agak merona merah jambu bila kesegaran mula meresap ke seluruh badan. Ahh! lega..relax dan..."hah! jaga-jaga air kolam dah bertukar keruh, kaki siapa yang banyak daki ni!" suara Kak Su mengejutkan semua. Sesama berpandangan, tersenyum dan ketawa. Sepanjang hari ini aku tidak melihat  pun muka-muka sedih antara kami. Selebihnya hanya tertawa dan tertawa, usik mengusik, menyakat dan tertawa lagi. Tertawalah andai itu yang mampu untuk menceriakan segalanya. Senyum dan ketawalah..walau dunia tak seindah syurga kerana sesungguhnya kita tak mampu menandingi keindahan syurga itu..

Saat mentari merebahkan diri di ufuk timur, kami pelawat terakhir meninggalkan Poring Hot Spring.  Perjalanan pulang serasa cepat dan dekat. Kenapa rasa begitu?

Aku baru temui jawapannya di sini. "sebab..hutan-hutan, pokok-pokok dan batu-batu dah beri salam pada kita saat kita berada di jalan pulang. Semua dah mengenali kita sebab itu kita rasa dekat." Saba memberikan jawapan. "Oohh..macam tu ke?..patutlah kalau kita pergi ke sesuatu tempat yang tak pernah kita sampai rasa jauh sangat. Tapi bila masa balik rasa cepat je.." Ida mengomel sendirian. Aku tersenyum mengiakan. Kenderaan semakin berkurangan.
Azman memperlahankan kereta ketika melewati jalan berliku. Bulan mengambang penuh menerangi perjalanan kami. "Tengok! .. tengok!.. di sebelah kanan kamu..Gunung Kinabalu..! Azman seakan terjerit kecil penuh teruja. Kami segera memandang ke luar tingkap.

Subhanallah!..Gunung Kinabalu benar-benar berada di sebelah kami (maksud aku dek kerana besarnya gunung itu terasa seperti berada di sebelah sahaja). Dengan bantuan cahaya bulan, Kinabalu nampak berbalam-balam menjulang angkasa. Tersergam gagah dan penuh gah! Saat itu bulu roma aku meremang! Betapa besarnya kekuasan Allah, betapa hebatnya Maha Pencipta. Tak dapat aku bayangkan bagaimana jika Kinabalu betul-betul berada di hadapan aku disimbahi cahaya terang mentari. Sekurang-kurangnya rasa kempunan untuk melihat keseluruhan Kinabalu siang tadi terubat jua.
Dinner malam ni di mana bah? Wah! romantiknya tempat ni. Bukan candle light dinner..tapi dinner di tepi pantai di Anjung Selera, Tg. Lipat, Likas. Deruan ombak Laut China Selatan dan angin malam yang lembut dingin menyegarkan sedikit mata aku yang semakin berat. Perut masih terasa kenyang. Aku cuma minum teh tarik dan 'berkongsi' sesudu dua nasi goreng dengan Saba. Kebetulan lagi..Amran dan Ida bertemu saudaranya di pantai ini. Saudara sepupu yang berkahwin dengan orang Sabah. Belum sempat menjamah tomyam yang dipesan, Amran beralih meja meninggalkan tomyam sebagai 'hadiah' kepada kami. Pandai kau ya Amran!... 'lepaskan' diri dari tomyam tu! (ada cerita disebaliknya..biarlah rahsia.. rugi siapa tak join..).

Sampai di rumah hampir jam 12 tengah malam. Badan letih, penat, melengas, mengantuk semuanya bersatu. Selesai mandi tilam dan bantal  menjadi teman paling diperlukan saat-saat begini.

Sepatah kata Azhar (Chief Ringgo) "aku rasa jadual kita very  thight, mengalahkan PLKN. Diusia-usia begini aku bangga kita masih mampu menempuhinya." That's right! Good nite.